Malaysia Dateline

Persatuan pelajar kesal kenaikan 80% yuran ujian kelayakan ke fakulti perubatan UM

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) membantah tindakan universiti itu menaikkan yuran kepada pelajar yang ingin menduduki Ujian Kemasukan Biomedical (BMAT) untuk memasuki Fakulti Perubatan Universiti Malaya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KMUM, yuran BMAT tahun ini telah meningkat sebanyak 80 peratusĀ  daripada tahun sebelumnya iaitu RM100 pada sessi 2016/2017 kepada RM250 untuk sessi 2021/2022.

Bagi KMUM, peningkatan ini sangat tidak wajar walaupun potongan diberikan kepada golongan pelajar B40.

“Kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) dari 2016/2017 hingga hari ini adalah sebanyak 30%, dan jauh lebih tinggi daripada kadar inflasi yang kita perhatikan di Malaysia setiap hari.

“Pihak Kesatuan berpendapat bahawa hal ini tidak adil untuk mana-mana individu yang akan menduduki peperiksaan ini, tidak kira sama ada mereka di dalam golongan B40 ataupun tidak,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, walaupun pelepasan tertentu telah diberikan kepada kumpulan B40, kos sebanyak RM225 telah meningkat dengan ketara daripada RM100 (2016/2017) atau RM150 (2021/2022), dan menjadi penghalang besar bagi mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah perubatan.

KMUM mempertikaikan tujuan sebenar pembayaran yang dilakukan untuk seseorang menduduki peperiksaan ini.

“KMUM ingin menegaskan bahawa BMAT ini merupakan kaedah untuk memilih calon yang sesuai untuk program MBBS yang sengit persaingannya dan bukan kaedah untuk fakulti mengaut keuntungan.

“Walaupun keuntungan tersebut mungkin akan dilaburkan semula untuk penambahbaikan kemudahan di fakulti, yuran tersebut tidak sepatutnya dikenakan dengan tinggi kerana ini akan mengurangkan peluang pelajar B40 untuk meneruskan minat mereka dalam bidang perubatan,” kata kenyataan itu lagi.

KMUM juga menegaskan bahawa pihak pengurusan universiti harus berusaha untuk memberikan penjelasan tentang rasional disebalik tindakan yang diambil oleh mereka.

“Sekiranya alasan disebalik mengapa tindakan tersebut diambil adalah rasional, pelajar UM pasti akan bersikap rasional.

“Akan tetapi, pihak universiti tidak pernah memberikan penjelasan mengenai perkara serta tindakan yang dilakukan,” katanya.