Persatuan pelajar kumpul RM105,736.39 untuk bantuan banjir

Oleh BORHAN AHMAD

Dalam tempoh 5 hari tabung khas Bantuan Kecemasan Banjir Selangor dilancarkan oleh Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS), jumlah kutipan sumbangan telah mencecah RM 105,736.39.

“Jutaan terima kasih diucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang turut menyumbang bagi melancarkan lagi pergerakan misi bantuan banjir ini untuk membantu mangsa banjir yang terjejas,” kata Presiden PEPIAS, Muhammad Zakir bin Abdul Razak (gambar) dalam satu kenyataannya.

Katanya, hasil sumbangan rakyat Malaysia, separuhnya telah digunakan untuk membeli barang keperluan seperti alatan pembersihan bagi mempercepat proses pembersihan di kawasan-kawasan yang dinaiki air seperti Hulu Langat, Kuala Langat, Shah Alam, Klang, Puchong, dan Kuala Selangor.

Manakala jumlah sumbangan yang berbaki akan digunakan untuk bantuan pasca banjir, kata beliau.

Di samping itu, lebih daripada 400 orang sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa pelbagai universiti dan belia tempatan telah digerakkan.

Mereka sentiasa bersiap siaga untuk menyumbang tenaga di pusat pengumpulan barang keperluan mangsa banjir mahupun di lapangan selut lumpur bagi menyampaikan bantuan.

PEPIAS sebagai NGO yang digerakkan oleh mahasiswa dan belia sentiasa komited memainkan peranan sebaiknya di gelanggang masyarakat, katanya.

Sehingga tempoh ini, tabung sumbangan dan pendaftaran sukarelawan masih dibuka sebagai ruang untuk rakyat Malaysia teruskan membantu mangsa banjir.

Semoga melalui usaha yang digerakkan ini dapat meringankan beban mangsa banjir dalam menghadapi situasi getir ini, kata beliau.