Persatuan penjaja, peniaga gesa kekalkan penganjuran bazaar ramadhan

Persatuan penjaja, peniaga gesa kekalkan penganjuran bazaar ramadhan
Jawatankuasa Bertindak Protes Bazaar Ramadhan 2019 mengadakan demontrasi menuntut tapak perniagaan dikekalkan pada bulan Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Jawatankuasa Bertindak Protes Bazaar Ramadhan 2019, hari ini menggesa Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, supaya mempertimbangkan semula untuk mengekalkan penganjuran Bazaar Ramadhan kepada persatuan dan badan bukan kerajaan (NG0).

Protes itu dibuat di hadapan Bangunan Parlimen, pagi tadi, dengan peserta dilihat membawa kain rentang ‘Kembalikan Hak Penganjuran Bazaar Juadah Ramadhan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kepada Persatuan/NGO’.

Wakilnya, Ghulam Muszaffar berkata, pihaknya menerima pelbagai rungutan daripada peniaga bahawa mereka tidak boleh lagi berniaga disebabkan pelbagai faktor.

Katanya, rungutan itu membabitkan faktor agihan tapak, bancian dan undian yang akan mengundang masalah kepada mereka (peniaga).

“Dalam isu ini, secara langsung peniaga terbeban. Ini disebabkan kawasan setempat yang mereka berniaga, kawasan-kawasan tapak tradisi dimiliki oleh orang lain.

“Dalam referendum tadi, saya ada nyatakan 11 perkara. Salah satunya, kita agak terkilan apabila pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak Menteri tak pernah rujuk dengan kita sebagai ‘stake holder’.

“Mereka (Menteri & DBKL) juga tak pernah rujuk dengan kami mengenai sistem permohonan atas talian dan terus merampas kawasan kami.

“Kami orang berkepentingan di sini, dan langsung tidak diberi muka (peluang) untuk kami berbincang dalam isu Bazaar Ramadhan 2019 ini… benda yang kita khuatir sekarang ini telah berlaku,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada protes itu.

Dalam perkembangan sama, Gulam berkata, apabila undian dilakukan, kemungkinan peniaga akan mendapat tapak yang jaraknya jauh antara satu sama lain, sekali gus menyukarkan mereka untuk berniaga.

“Ada tapak nombornya 10, 30, 40. Macam mana kalau orang itu berniaga makanan atau pun juadah berbuka (lauk campur)? Semestinya mereka memerlukan tiga atau empat petak untuk letak makanan.

“Takkan satu petak nak meniaga letak ayam goreng, lagi satu petak letak ikan goreng? Tak masuk akal,” katanya.