Persatuan teksi akan kemuka usul tolak Isa selaku Pengerusi SPAD

Persatuan teksi akan kemuka usul tolak Isa selaku Pengerusi SPAD

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang Zailani Isausuludin berkata, bekas pengerusi Felda Global Ventures Holding Berhad (FGV) itu sewajarnya tidak diberikan sebarang jawatan dalam mana-mana agensi kerajaan kerana turut  disiasat oleh  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ramai lagi yang berpengalaman dan berintegriti sedangkan beliau masih disiasat SPRM.

“Kita menolak pelantikan Tan Sri Isa menerajui SPAD dan seluruh warga pemandu teksi dijangka akan berhimpun untuk mengemukakan usul dan menyatakan bantahan menolak pimpinan beliau kepada kerajaan,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Dimaklumkan satu perhimpunan membabitkan semua pemandu teksi di seluruh negara itu untuk mengemukakan usul berkenaan yang akan diadakan pada 3 Julai depan di Dewan Sivik Petaling Jaya.

Tambah Zailani lagi, sewajarnya Isa tidak memegang sebarang jawatan sehingga siasatan selesai untuk membuktikan sama ada beliau benar-benar bersih daripada dakwaan rasuah atau salah guna kuasa sehingga menyebabkan kerugian terhadap anak-anak syarikat di bawah Felda dan FGV.

“Kami berpendapat beliau bukan seorang yang bersih. Beliau seharusnya berehat sementara menunggu siasatan SPRM selesai untuk membuktikan beliau bersih daripada sebarang dakwaan rasuah atau guna kuasa.

“Beliau tidak sepatutnya diberi sebarang jawatan. Satu malapetaka dalam industri perkhidmatan awam negara ini. Seolah-olah negara ketandusan pemimpin yang lebih kelihatan bersih, berkalibar dan amanah yang layak untuk dilantik menerajui SPAD,” ujarnya.

Justeru beliau menyarankan agar SPAD diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.

“Teksi adalah salah satu perkhidmatan pengangkutan awam negara, sepatutnya dari dulu ia diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan bukannya di bawah suruhanjaya.

“Kebanyakan dikalangan pegawai kontrak sudah pasti kebertanggungjawaban adalah rendah kerana berpaksikan mengaut keuntungan daripada menjaga kewibawaan negara lebih-lebih lagi kepada pelancong asing.

“Sebuah suruhanjaya tidak boleh melakukan apa-apa kerana ia tidak menguruskan industri teksi.

“Sebab itu SPAD sejak ditubuhkan 2012 gagal membangunkan industri teksi.Apa sudah jadi dengan Teks1m (Teksi Satu Malaysia)?

“Akhirnya kembali mengunakan teksi merah putih kemudian dikatakan sebagai melakukan transformasi terhadap industri teksi telah menghalalkan pula uber dan Grabcar untuk memonopoli perkhidmatan awam negara yang mana syarikat itu akan dikuasai oleh orang politik yang akan mengaut keuntungan dalam pasaran,” dakwanya.

Pada Isnin Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak telah mengumumkan pelantikan Isa sebagai pemangku Pengerusi SPAD. Manakala Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob dilantik sebagai pemangku Pengerusi FGV berkuat kuasa serta merta.

Semalam Tan Sri Isa Samad dan isterinya Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid hadir di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya bagi memberi keterangan berhubung siasatan terhadap FGV.

Pada 9 Jun lalu, SPRM mengesahkan telah memulakan siasatan terhadap FGV dan Ketua Pesuruhjayanya Datuk Dzulkifli Ahmad dilaporkan berkata semua saksi termasuk Isa akan dipanggil untuk direkodkan keterangan.

Pengesahan itu menyusuli laporan media pada hari sebelumnya yang menyebut sekumpulan pegawai dan anggota SPRM mengambil masa lapan jam bagi menyelesaikan urusan pengambilan dokumen di ibu pejabat FGV di ibu negara.

Dilaporkan SPRM telah mengambil keterangan daripada 60 saksi berhubung siasatan itu.