Persatuan Ulama Malaysia beri amaran G25 jangan berpolemik isu institusi Islam

Persatuan Ulama Malaysia beri amaran G25 jangan berpolemik isu institusi Islam
Datuk al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir,- Foto ANC

Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) menempelak dan menolak sekeras-kerasnya pandangan kumpulan bekas penjawat awam (G25) yang mempersoalkan penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI).

Yang Dipertuanya, Datuk al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir, memberi amaran agar kumpulan G25 serta individu yang terlibat, berhenti daripada terus mencetuskan polemik berkait dengan kedudukan Islam dan institusinya di negara ini.

Beliau berkata, kenyataan provokatif yang dikeluarkan hanya akan membina persepsi negatif yang akhirnya boleh menimbulkan rasa khuatir pihak tertentu

“Penubuhan Jakim adalah untuk memanifestasikan peruntukan Islam sebagai agama persekutuan sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Untuk itu, tidak timbul isu penubuhan Jakim sebagai bercanggah dengan perlembagaan.

“Setiap rakyat dan pertubuhan di Malaysia harus menghormati keputusan Majlis Raja-Raja yang menubuhkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam sejak 1968 dan Jakim bertindak sebagai Urusetianya sejak awal penubuhan,” tegasnya.

Media pada Sabtu melaporkan dakwaan G25 bahawa penubuhan Jakim dan MKI  tidak mengikut perlembagaan kerana tiada peruntukan untuk agensi berkenaan ditubuhkan di peringkat nasional

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, PUM mendukung sepenuhnya Islam sebagai agama persekutuan sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan negara yang berdiri teguh bersama dengan institusi-insitusi agama di semua peringkat.