Persatuan urus sendiri kebersihan pasar Pasir Puteh

Persatuan urus sendiri kebersihan pasar Pasir Puteh

Selepas memotong bekalan air dan elektrik, Majlis Daerah Pasir Puteh kini memberhentikan kerja-kerja pembersihan.

Ekoran itu, lebih 200 peniaga yang bernaung di bawah persatuan peniaga pasar itu bertekad menguruskan sendiri kerja-kerja pembersihan yang ditinggalkan pihak MDPP.

Setiausaha persatuan berkenaan, Ghazali Mamat atau lebih dikenali Abe Bidin berkata, untuk waktu ini peniaga-peniaga bergilir menguruskannya.

Ghazali Mamat

Beliau kesal dengan tindakan Unit Amal Pas yang kononnya datang membantu memindahkan peniaga pada 27 Oktober lalu.

“InsyaAllah kita akan mengupah pekerja tetap dengan kutipan dan sumbangan para peniaga,” katanya.

“Mereka hanya membantu empat orang peniaga yang berpindah pada hari itu.

“Apa yang menyedihkan mereka telah membuat tindakan hodoh dengan melonggokkan sampah sarap dalam kawasan pasar,” katanya selepas mengadakan perbincangan dengan pemuda Pakatan Harapan (PH) pagi ini.

Untuk mengembalikan kekemasan dan keceriaan pasar katanya, satu gotong-royong anjuran persatuan akan diadakan pada 1 November ini.

“Saya mempersilakan orang ramai yang bersimpati termasuk anggota parti-parti politik untuk sama-sama menjayakan gotong-royong berkenaan,” katanya.

Sementara itu Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan berjanji akan terus memberikan sokongan dan bantuan kepada para peniaga yang menuntut keadilan.

7.3
OVERALL SCORE
3 user votes x 9.7
CATEGORIES