Persekolahan digital, pendidikan digital untuk warga masa depan perolehi ilmu

Persekolahan digital, pendidikan digital untuk warga masa depan perolehi ilmu

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Inisiatif baharu Persekolahan Digital akan diperkenalkan untuk mendedahkan warga masa depan kepada ilmu yang sesuai pada zamannya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden Umno itu yang turut menjalankan tugas Timbalan Presiden parti, berkata Malaysia perlu bergerak ke depan dan beralih daripada sistem pendidikan konvensional kepada pendidikan digital bagi menghadapi cabaran revolusi ekonomi dan industri yang dipacu oleh ledakan teknologi digital.

Beliau berkata perisian interaktif digital bakal menjadi medium pembelajaran menarik dalam pendidikan moden dan juga media pembelajaran bestari.

Modul baharu inilah yang sedang kita tawarkan kepada generasi Y dan Z, katanya ketika merasmikan secara serentak persidangan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di sini malam tadi.

Ahmad Zahid berkata sehubungan itu amatlah wajar Kementerian Pendidikan memperhalusi pendidikan dan persekolahan digital itu.

Beliau berkata antara perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah mengenai percambahan minda kreatif dan lateral anak-anak.

Kita harus meraikan kecenderungan kepelbagaian ini dan bakat semula jadi yang ada pada mereka, katanya.

Menyentuh aspek ekonomi, Ahmad Zahid berkata ekonomi digital merupakan kuasa baharu dalam penjanaan ekonomi dunia melalui e-dagang.

Kita mesti menerajui dunia digital ini bukan sekadar sebagai penonton dan pengikut tetapi kita juga harus menjadi pemain dan pemacu utama, katanya.

Beliau berkata keprihatinan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri mewujudkan Zon Perdagangan Bebas Digital merupakan manifestasi komitmen tahap tinggi kerajaan dalam menyediakan peluang perniagaan dalam talian.

Inilah konsep dunia perdagangan baharu yang menjangkau masa depan. Rakyat di seluruh negara termasuk usahawan Melayu perlu merebut segala ruang dan peluang perniagaan baharu ini, katanya.

Ahmad Zahid berkata kerajaan juga akan memberi Iebih keutamaan kepada Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET).

Industri bakat ini perlu diarusperdanakan bukan sekadar dari segi jumlah graduannya tetapi juga idea dan ciptaan kreatif yang mampu menerokai pasaran antarabangsa, katanya.

CATEGORIES