Malaysia Dateline

Perselisihan maritim: Malaysia mengalu-alukan ke meja rundingan dengan Singapura

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pada Sabtu bahawa beliau mengalu-alukan perundingan diadakan bersama Singapura berkaitan perselisihan maritim diantara dua negara, lapor Channel News Asia.

“Ramai pihak mengumukan perbatasan negara mereka secara berkala, dan ia telah menyebabkan perselisihan dengan negara lain, oleh itu kita akan menyelesaikannya melalui peruntukan undang-undang dan hak-hak kita,” jelas Dr Mahathir pada sidang media selepas mesyuarat Pakatan Harapan.

“Perkara paling mustahak ialah Singapura bersetuju untuk ke meja perundingan, dan sehingga kami selesai berunding, kami tidak boleh memberikan apa-apa jawapan muktamad,” tambah beliau.

Sebelum ini Dr Mahathir telah menyebut bahawa had pangkalan Johor baharu yang telah digazetkan pada 25 Oktober tidak ‘menyentuh’ perbatasan Singapura.

Pada Khamis lepas, Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan mengumumkan bahawa Singapura telah meluaskan had pangkalannya apabila terdapat ‘perkembangan provokatif’ di kawasan tersebut. Tambah Menteri itu, kapal-kapal Malaysia telah memasuki kawasan perairan Singapura sejak dua minggu lepas.

Muhyiddin sokong ke meja perundingan

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin turut berkata bahawa beliau berharap perselisihan diantara Malaysia dan Singapura berkaitan maritim dan ruang udara di selatan Johor itu dapat dibincangkan di meja perundingan.

Hal ini penting untuk mengelakkan persaingan tidak sihat diantara dua negara, jelas beliau selepas membuka konvensyen Johor bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Saya mengikuti apa yang disebut oleh Menteri Singapura beberapa hari lepas dan (Singapura) mahu menyelesaikan isu ini dengan baik; oleh itu ia adalah satu langkah yang baik. Kita tidak mahu (perkara ini) menyebabkan banyak persaingan tidak sihat kerana ia akan menyebabkan banyak pihak tidak berpuas hati,”.

“Hubungan Malaysia-Singapura sentiasa baik. Dan ia adalah normal (untuk mempunyai masalah). Malah, saya sebelum ini sebagai Menteri Besar (Johor) turut mempunyai masalah juga, tetapi kedua-dua negara tetap mahu bekerjasama,”.

Situasi agak tegang

Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Chan Chun Sing mengatakan bahawa “risiko (untuk perselisihan ini) tidak boleh dipandang ringan,”.

“Situasi agak tegang. Kapal-kapal tersebut berada dalam keadaan dekat antara satu sama lain dan kita tahu apabila kapal-kapal tersebut dilengkapi senjata, risiko untuk keadaan menjadi buruk tidak boleh dipandang ringan. Perkara yang tidak diingini boleh terjadi,” kata beliau.

“Kami menyeru kepada semua pihak untuk merujuk kepada Pra-Oktober 25 status quo untuk menenangkan keadaan. Terdapat banyak cara untuk (menyelesaikan perselisihan ini) dibawah peruntukan undang-undang antarabangsa tanpa prejudis kepada Malaysia,”.

Chan juga mengatakan bahawa Singapura mengalu-alukan perbincangan demi mencari “resolusi yang cepat dan persetujuan bersama” kepada isu ini, dan jika tiada persetujuan yang dapat dicapai, Singapura mempertimbangkan untuk menyelesaikan isu ini melalui “pihak ketiga yang diiktiraf diperingkat antarabangsa mengikut prosedur menyelesaikan perselisihan,”.

Singapura sebelum ini telah menolak cadangan Malaysia untuk kedua-dua pihak memberhentikan penghantaran aset negara masing-masing ke ‘kawasan perselisihan’.