Malaysia Dateline

Persembahan ‘bunuh diri’ dalam AJL 34 dikecam

Persatuan Peduli Mental Malaysia (MIASA) mengecam persembahan menyerupai aksi membunuh diri oleh penyanyi Aina Abdul pada Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) malam ini.

MIASA dalam kenyataannya menyifatkan persembahan menerusi lagu Sumpah itu sebagai sangat mengejutkan dan melanggar peraturan.

“Apakah sudah tiada idea kreatif lain sehingga mendesak untuk melakukan persembahan yang berkonsepkan memudaratkan diri di pentas AJL tahun ini?

“Stesen TV dan produksi sepatutnya sudah sedia maklum dengan larangan adegan sedemikian di media,” ujarnya.

MIASA menegaskan persembahan seperti itu memberi mesej yang salah kepada audiens mengenai kekesalan kekecewaan dalam percintaan sehingga perlu digambarkan dengan adegan yang agak sadis.

“Persembahan seperti ini jelas telah melanggar Guidelines For Media Reporting on Suicide yang melarang sebarang bentuk adegan memcederakan diri atau memudaratkan diri dengan menunjukkan/menjelaskan cara dan kaedah untuk melakukannya.

“Bagi individu yang memiliki masalah mental, adegan seperti ini boleh menyebabkan trigger yang boleh menggangu pemikiran dan mungkin mendorong mereka melakukan perbuatan yang merbahaya juga,” katanya.

Sehubungan itu, MIASA menyeru orang ramai agar membantu membuat laporan kepada Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF) bagi memastikan hal seperti itu tidak berulang.

Dalam persembahan tersebut, terdapat cecair menggambarkan darah keluar membasahi pakaian serba putih seperti kain kafan yang dipakai oleh Aina Abdul.

Untuk rekod, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2017 mendapati tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun di Malaysia menunjukkan peningkatan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga pernah mendedahkan fakta bahawa kemurungan adalah punca utama masalah kesihatan dan bunuh diri punca kematian utama selepas kemalangan jalan raya untuk golongan berumur 10 tahun hingga 19 tahun.