Malaysia Dateline

Persembahan tatoo separuh bogel: Motac akan ambil tindakan ke atas penganjur

Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (Motac) akan mengambil tindakan ke atas penganjur Tatoo Malaysia Expo 2019 susulan memperagakan aksi separuh bogel pada acara tersebut.

Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, beliau telah mengarahkan agensi di bawah kementeriannya iaitu Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCeB) untuk menyiasat perkara tersebut.

“Ekspo ini bukan kali pertama diadakan di negara ini dan semenjak 2015 seperti di Kota Kibabalu Sabah, tiada kejadian seumpama berlaku dan dipamer di khalayak ramai.

“Saya difahamkan ia diadakan secara tertutup tetapu ia telah melanggar ketatasusilaan,” ujarnya.

Menurut beliau lagi walaupun penganjuran acara sedemikian bertaraf antarabangsa yang baik untuk industri pelancongan negara, sebaliknya ia bukan cara menganjurkan acara demikian.

Tambahnya apa yang ditontonkan kepada khalayak negara ini, tidak mempamerkan wajah sebenar Malaysia yang penuh kesopanan dan kesusilaan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai penularan di media sosial apabila tular gambar pada peserta Malaysia Tattoo Expo 2019 yang berkeadaan separuh bogel.

Rata-rata netizen mengutuk apa yang berlaku kerana ia bertentangan dengan agama dan moral penduduk di negara ini.

Lebih menimbulkan kemarahan apabila netizen mendapati majlis yang sama mendapat sokongan kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan (Motac).

Ia dapat dilihat pada poster yang terdapat pada gambar tular majlis berkenaan.

Jelas Mohamaddin lagi, sebarang kelulusan untuk peragaan separuh bnogel tidak pernah dikeluarkan oleh pihaknya.

“Adalah satu yang mustahil bagi kementerian untuk meluluskan sebarang permohonan penganjuran persembahan yang ada elemen lucah seperti itu, kerana bukan budaya Malaysia apatah lagi majoriti rakyat Malaysia adalah beragama Islam,” ujarnya yang menegaskan, pihaknya sedang menunggu siasatan dan laporan dari MyCeB dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya pihak penganjur melanggar syarat yang ditetapkan oleh kementerian itu.