Persempadanan baharu nyata tidak adil, tidak profesional

Persempadanan baharu nyata tidak adil, tidak profesional

Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri Melaka, Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, persempadanan kawasan pilihan raya baharu yang diluluskan oleh Parlimen adalah jelas tidak adil dan tidak profesional.

Kata Sofi, dalam hal tersebut beliau merujuk kepada persempadanan untuk negeri Melaka.

Katanya, persempadanan ini jelas menambahkan polarisasi kaum di mana pengundi-pengundi sesuatu kaum dilonggokkan di sesuatu Dun atau Parlimen.

Sebagai contoh kata beliau, terdapat lebih 13,000 pengundi daripada tiga (3) Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam Dun Ayer Keroh dipindahkan ke Dun Kesidang dan lebih daripada 10,000 pengundi dari dua PDM Dun Pengkalan Batu (Dulunya Bachang) dipindahkan juga ke Dun Kesidang.

“Majoriti pengundi yang dipindahkan ini iaitu lebih daripada 75 % adalah pengundi kaum Tionghua yang dilonggok di Dun Kesidang dalam Parlimen Kota Melaka

“Persempadanan ini juga tidak adil kerana jumlah undi di setiap Dun dan Parlimen adalah jauh berbeza,” kata Naib Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka itu dalam kenyataan.

Tambahnya, jika dibuat perbandingan, kita melihat N05 Taboh Naning mempunyai pengundi seramai 8,198 lebih, dengan 17 Bukit Katil (dulunya Bukit Baru) mempunyai pengundi seramai 22,497.

Malah jelasnya, N19 Dun Kesidang mempunyai 34,160 pengundi. Dalam lain perkataan, bilangan pengundi N19 Kesidang adalah 4 kali lebih ramai daripada bilangan pengundi N05 Taboh Naning dan ini bermakna satu (1) undi di Taboh Naning bersamaan empat (4) undi di Kesidang.

“Bagi peringkat Parlimen pula, nisbah ketidaksekataannya lebih ketara apabila bahagian pilihan raya persekutuan yang dicadangkan P134 Masjid Tanah mempunyai pengundi seramai 47,972, manakala P137 Bukit Katil mempunyai pengundi seramai lebih 80,834 dan P138 Kota Melaka mempunyai pengundi seramai lebih dari 120,071

“SPR seolah-olah bertindak seperti mengikut telunjuk pihak tertentu apabila mengesyorkan persempadanan semula yang jelas tidak masuk akal.

“Jika dulu kita lihat banyak kawasan Dun campuran, tetapi kini lebih memperlihatkan pembahagian mengikut kaum terutamanya melibatkan kaum Melayu dan Cina,” jelasnya lagi.

Kata Sofi, tujuan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kali ini begitu ketara untuk mengalahkan pembangkang yang telah memenangi Parlimen Bukit katil dan merampas beberapa Dun lain.

Ujarnya, sepatutnya SPR menambahkan sekurang-kurangnya satu (1) Parlimen lagi di kawasan Bandaraya Melaka dan Melaka Tengah iaitu dengan memecahkan Parlimen Kota Melaka dan Bukit katil bagi mewujudkan satu (1) Parlimen baharu kerana jelas jumlah pengundi di Kota Melaka sudah terlalu tinggi iaitu 120,071.

Selain itu SPR juga tambahnya, sepatutnya menambahkan sekurang-kurangnya tiga (3) Dun baharu iaitu di Parlimen Kota Melaka dan Bukit Katil bagi memudahkan tugas wakil rakyat dengan jumlah pengundi yang munasabah di sesuatu kawasan Dun dan Parlimen

“BN yakin dengan persempadanan baharu ini mereka boleh memang mudah. Tetapi mereka lupa bahawa dengan melonggokkan pengundi Melayu di sesuatu Dun dan Parlimen belum tentu menjamin kemenangan mereka kerana pengaruh Tun Mahathir dan Bersatu semakin kuat dalam kalangan pengundi Melayu.

“Malah perpaduan yang kuat dalam PH khususnya di Melaka akan menjadi mimpi ngeri buat BN.

“Saya yakin PH mampu merampas negeri Melaka pada PRU14 ini nanti berdasarkan sokongan yang semakin hebat dalam kalangan pengundi Melayu kepada PH khususnya di luar bandar dan peningkatan sehingga kepada 85 % pengundi Tionghua dan India kepada PH.

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0