Malaysia Dateline

Persempadanan semula: AMK anggap dakyah Pas, sekutu raih keuntungan politik

Kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang mahu melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya jika parti itu memenangi dua pertiga kerusi Parlimen, hanyalah sekadar dakyah politik untuk mengaburi mata rakyat.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, hasrat Pas sekadar kenyataan politik yang sama sekali tidak mencerminkan tujuan sebenar persempadanan semula diadakan.

Ini kerana menurutnya, ia adalah persempadanan semula bagi memberikan keuntungan politik kepada Pas dan sekutu mereka.

“Jika diteliti hujah Khairuddin, agak mendukacitakan apabila Pas yang suatu ketika dulu begitu lantang membantah gerrymandering yang jelas mempunyai agenda menguntungkan kerajaan semasa serta bertentangan dengan prinsip keadilan, begitu cepat berubah apabila peroleh kuasa dengan kini mencadangkan perkara yang sama.

“Sudah pasti ini merobek harapan rakyat untuk melihat sistem demokrasi yang telus dan adil selepas ianya dicabuli melalui pengkhianatan terhadap mandat rakyat sewaktu Langkah Sheraton yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dileluarkan Ketua AMK, Akmal Nasir dan Setiausahanya, Syukri Razab.

Terdahulu, Pas menyasarkan untuk menguasai dua pertiga Dewan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) agar parti itu bersama gabungannya dapat melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Khairuddin berkata, langkah itu akan menguntungkan umat Islam dan untuk merealisasikan matlamat berkenaan, partinya perlu memastikan semua calon mereka berdepan dengan saingan dua penjuru.

Kenyataan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dilihat ditujukan kepada Bersatu dan Umno yang kini terus berdepan dengan isu hubungan dua hala.

Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, cadangan untuk persempadanan semula di beberapa negeri majoriti Melayu dilakukan bagi menambah bilangan kerusi kaum Melayu di Parlimen.

Katanya, berlaku pertambahan pengundi terutama di sebelah Pantai Timur iaitu Kelantan dan sebahagiannya di Kedah, Pahang dan Terengganu.

Sementara itu, AMK mengingatkan bahawa persempadanan semula kawasan pilihan raya hanya boleh diadakan pada tahun 2026.

“Kali terakhir Dewan Rakyat meluluskan persempadanan semula kawasan pilihan raya adalah pada 28 Mac 2018.

“Mengikut Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan, tempoh mestilah tidak kurang daripada lapan tahun antara tarikh siapnya satu kajian semula. Maka persempadanan semula kawasan pilihan raya hanya boleh diadakan pada tahun 2026,” katanya.

Sehubungan itu, AMK Malaysia menggesa agar sebarang usaha gerrymandering dihentikan dan menyeru supaya Perikatan Nasional terlebih dahulu menyelesaikan isu pengundi 18 tahun serta menyahut titah Yang di-Pertuan Agong untuk membenarkan Parlimen bersidang walaupun dalam tempoh darurat.