Persempadanan semula beri kelebihan majoriti kepada BN

Persempadanan semula beri kelebihan majoriti kepada BN

Penganalisis politik berpendapat cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya dan kewujudan pengundi awal cenderung memberi kelebihan majoriti kepada Barisan Nasional (BN).

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar (gambar atas) berkata, di Perak contohnya, Dewan Undangan Negeri (Dun) Sitiawan tidak dimasukkan dalam Parlimen Lumut menyebabkan dua Dun lagi didominasi pengundi Melayu.

“Mengejutkan dalam persempadanan baru, satu Dun tidak dimasukkan dalam Parlimen Lumut. Dun majoriti Melayu Pasir Panjang dan Pangkor dari segi undi awam seakan seimbang antara Pakatan Harapan (PH) dan BN.

“Tetapi Dun Pangkor itu mempunyai kem TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) dengan pengundi awal.

“Melihat kepada gabungan Dun Pangkor dan Pasir Panjang, pengundi awal dan pengundi awam memberi kelebihan majoriti kepada BN,” jelasnya.

Untuk rekod, P074 Lumut mempunyai pangkalan TLDM terbesar di negara ini dengan terdapat lebih 10,000 pengundi awal pada pilihan raya lalu.

Bercakap dalam forum ‘PRU-14 Bakal Dicuri?’ anjuran Bersih di ibu negara malam tadi, beliau berkata, Dun Sitiawan menyaksikan DAP memperoleh majorti besar pada pilihan raya lalu.

Forum ‘PRU-14 Bakal Dicuri?’ anjuran Bersih di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCHAH)) malam tadi.

“Kalau satu, dua PDM (Pusat Daerah Mengundi) yang dikeluarkan itu munasabah tapi kalau satu Dun itu agak melampau,” katanya.

Menurutnya, alasan berhubung isu populasi dan untuk memberikan kemudahan kepada pengundi adalah tidak munasabah.

“Sedangkan Dun Sitiawan itu hampir dengan Lumut. Kalau kita naik kenderaan lebih kurang 10 minit saja (sampai),” jelasnya dalam forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCHAH) itu.

Hisomuddin turut memberitahu isu sama berlaku di Parlimen Sembrong apabila kawasan Felda dipindahkan ke kerusi Dun Paloh selepas DAP kalah tipis hanya 103 undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Beliau difahamkan cadangan persempadanan semula di kawasan itu menyasarkan untuk Felda Kahang Barat dimasukkan ke Dun Paloh sekali gus menyukarkan kemenangan calon PH.

“Terdapat lebih 2,000 pengundi di sana dan kesemua mereka adalah pengundi Melayu. Ia menjadikan DAP lebih sukar untuk menang di Paloh,” jelasnya lagi.

5.7
OVERALL SCORE
2 user votes x 8.5