Persempadanan semula di Selangor hanya beri kelebihan pada BN

Persempadanan semula di Selangor hanya beri kelebihan pada BN

Persempadanan semula di Selangor yang menyaksikan pembahagian pengundi tidak sekata hanya membawa kelebihan kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata peguam yang mewakili kerajaan negeri itu, Datuk Cyrus Dass kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Menurutnya, hal tersebut dapat dilihat pada Dewan Undangan Negeri (Dun) Sri Andalas yang merupakan kawasan berbilang kaum tetapi menjadi majoriti kaum tertentu sahaja selepas pengumuman persempadanan semula pada 15 September tahun lalu.

“Enam kawasan pengundian adalah mengundi Pakatan Rakyat dan penyingkiran mereka hanya akan meningkatkan prestasi BN dalam PRU akan datang,” ujarnya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan dipetik dari laporan satu portal berita.

Kawasan tersebut adalah Petaling Jaya Utara dinamakan sebagai Damansara (84,456 pemilih kepada 150,439), Serdang dinamakan Bangi (139,013 kepada 146,168) dan Klang (98,285 kepada 141,275).

Turut terlibat Petaling Jaya Selatan (78,404 kepada 129,363), Subang (101,603 kepada 128,330) dan Kota Raja (110,082 kepada 121,126).

Cyrus yang mewakili kerajaan Selangor serta Datuk S Ambiga memaklumkan demikian dalam sesi pendengaran manakala SPR diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Amarjeet Singh, Suzana Atan dan Azizan Md Arshad.

Mahkamah kemudiannya memutuskan penangguhan sesi pendengaran hari ini pada 24 Januari depan dan pada masa sama SPR dilarang untuk meneruskan proses ‘inquiri’ sepanjang prosiding perbicaraan berlangsung.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akhir tahun lalu membenarkan permohonan Kerajaan Selangor untuk menangguhkan cadangan persempadanan semula SPR selepas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memfailkan permohonan kebenaran bagi mencabar cadangan berkenaan.

Sehubungan itu, Selangor menjadi negeri pertama mencabar proses persempadanan semula SPR dengan menamakan Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh sebagai responden.

TAGS