Malaysia Dateline

mahkamah rayuan kes SPR

Persempadanan semula: Mahkamah benarkan rayuan SPR

Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Melaka terkhilaf memberi permohonan kepada enam penduduk di negeri itu yang mencabar proses persempadan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Panel tiga anggota yang bersidang hari ini membenarkan rayuan SPR selepas berpuas hati dengan hujah suruhanjaya itu yang diwakili peguam kanan persekutuan Datuk Amarjeet Singh, lapor Malaysiakini.

“Kami tidak membuat sebarang perintah mengenai untuk kos,” kata Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid.

Beliau sehubungan membenarkan permohonan SPR untuk mengetepikan kebenaran permohonan semakan kehakiman yang diperoleh oleh pengundi kawasan berkenaan.

Hakim lain yang bersidang bersama adalah Datuk Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Idrus Harun.

Penduduk berkenaan sebelum ini memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Melaka pada 3 Mei lalu untuk mencabar persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri itu.

Kesan daripada keputusan Mahkamah Rayuan bermakna permohonan mereka yang diwakili peguam Datuk S Ambiga untuk mencabar keputusan mahkamah itu berakhir.