Persempadanan semula taktik terdesak BN untuk kekal kuasa

Persempadanan semula taktik terdesak BN untuk kekal kuasa

Persempadanan semula yang diluluskan Parlimen semalam adalah salah satu taktik kotor untuk menekan parti pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) disamping memastikan BN terus bertapak di Putrajaya.

Berucap pada majlis Jelajah Pakatan Harapan Negeri Kedah yang diadakan di Guar Chempedak semalam, naib presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, usaha ini juga dibuat bagi memastikan Datuk Seri Najib Razak kekal berada di Seri Perdana.

“Mereka bukan saja menjadikan persempadanan semula ini sebagai kaedah untuk memastikan BN menang dan berkuasa dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, malah memperalatkan pelbagai akta dan undang-undang baru kerana semakin cuak dan bimbang dengan sentimen rakyat yang tidak berpihak kepada BN.

“Namun begitu mereka tidak boleh mengawal gelombang kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan,” jelas beliau lagi.

Malah kata Mukhriz, Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar yang dibentangkan secara tergesa-gesa di parlimen juga salah satu kaedah untuk menekan dan menyekat maklumat kepincangan kerajaan.

“Kerajaan pula akan menetapkan mana-mana berita yang akan diketegorikan sebagai palsu.

“Dari mahkamah sivil ia akan dibawa pula ke mahkamah jenayah.

“Lebih merbahaya apabila hendak bercakap pun akan menjadi suatu jenayah,” kesal beliau.

Tambah Mukhriz lagi, walau apa jua taktik kotor yang digunakan, rakyat harus sedar dan menolak segala usaha mengekalkan kuasa BN menjelang PRU akan datang.

“Setakat ini pelbagai janji peruntukan yang dibuat Najib sejak menjelajah beberapa negeri adalah janji-janji manis pilihan raya semata-mata.

“Macam-macam janji pilihan raya yang telah pun beliau taburkan sehingga mencecah berbilion ringgit.

“Yang menjadi tanda tanya dari mana datangnya duit berbilion ringgit yang akan diberikan oleh Najib,” tanya beliau lagi.

Walau bagaimanapun katanya, PH berani berjanji untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan kerajaan BN jika berjaya memenangi PRU ke-14 nanti.

“Rakyat tidak patut ditekan oleh kerajaan melalui cukai GST yang dikenakan sehingga enam peratus.

“Cukai ini terbukti membebankan rakyat dan akan dinaikkan lagi sehingga mencecah antara lapan hingga dua belas peratus sekiranya BN menang lagi.

“Sehubungan itu PH telah berjanji akan menghapuskan cukai tersebut dalam tempoh seratus hari seandainya berjaya menguasai kerajaan pusat tidak lama lagi,” tambahnya.

Dalam pada itu ribuan hadirin enggan berganjak daripada tapak ceramah di pekan Guar Chempedak walaupun hujan turun renyai-renyai.

Selain Mukhriz turut menyampaikan ucapan pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad, presiden AMANAH Mohamad Sabu, presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan aktivis Hishamuddin Rais.

Turut hadir para pemimpin parti gabungan PH Negeri Kedah.

8.5
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 9.0