Malaysia Dateline

Persenda Islam, Ezany buat laporan polis terhadap Sajat

Ezany buat laporan polis terhadap Sajat.

Lagak ahli perniagaan, Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau dikenali sebagai Sajat, yang berpakaian seperti wanita ketika berada di Tanah Suci ketika mengerjakan umrah kembali mendapat perhatian.

Kali ini giliran artis mengambil tindakan membuat laporan polis kerana aksi melampau Sajat dianggap mempersenda agama Islam.

Pelakon, Ezany Nizariff, 47, memberitahu beliau berbuat demikian atas kewajipan sebagai Muslim.

“Saya pun dosa banyak. Sepatutnya, kita berubah ke arah yang lebih baik. Sebelum Allah tanya saya di akhirat, sebagai Muslim saya terpaksa bertindak kerana kamu (Sajat) makin melampau!!” tegasnya di Facebook beliau hari ini.

Beliau menyifatkan perbuatan Sajat berpakaian wanita dan tampil berbuah dada itu mencemari nama baik Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam.

Dalam masa sama, aksi melampaui batas itu juga, jelasnya, menimbulkan suasana tidak harmoni antara agama serta menghasut dan mempromosikan nilai ekstrem lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Sajat mengundang rasa tidak senang jemaah di Tanah Suci apabila menceroboh ruang solat yang ditentukan untuk wanita dengan berpakaian serupa.

Rata-rata masyarakat Malaysia juga mengecam aksi Sajat mengenakan jubah wanita dan bertudung di Instagram ketika mengerjakan ibadat umrah di Mekah.

Perangai Sajat itu turut dikesali bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut, Ezany yang juga usahawan produk kecantikan mengakui kagum dengan pencapaian Sajat dalam perniagaan kosmetik.

“Tetapi apabila sampai kepada mempermainkan agama Islam, kamu cabar Allah, minta maaf dan kamu terus buat.

“Ramai ustaz nasihat tapi kamu tetap tidak peduli. Kamu angkuh. Kamu ego,” ujar bapa kepada dua anak, Rayyan Harraz dan Hayden Harraz itu.

Sehubungan itu, Ezany atau nama sebenarnya Mohd Zohri Mohd Nizariff berharap pihak berkuasa dapat bertindak.

Pada 6 Februari lalu, Sajat memuat naik video dia menangis dan mencium Kaabah di Insta Story. Dia juga memuat naik beberapa gambar mengenakan jubah wanita berwarna hitam selain turut berpurdah di Masjid Nabawi, Masjid Quba dan Bukit Uhud di Madinah.

Difahamkan, Sajat bersama keluarga, rakan serta mutawwif pulang ke tanah air pagi 6 Februari lalu, awal sehari daripada tarikh sepatutnya mereka pulang.

Mereka dikatakan membeli tiket penerbangan sendiri tanpa melalui agensi umrah Albayt Travel (M) Sdn Bhd.

Mujahid pernah ‘naik angin’ dengan perangai Sajat itu. Beliau tidak menolak kemungkinan akan menemui Sajat apabila ahli perniagaan itu pulang ke Malaysia selepas menunaikan umrah.

Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH juga pada 4 Februari lalu, berkata pihaknya pada masa itu sudah bertemu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengambil tindakan segera terhadap video dan gambar dimuat naik Sajat itu.

Walau bagaimanapun, tindakan lanjut terhadap Sajat tidak diketahui lantaran fokus umum terhadap pandemik Covid-19 diikuti keruntuhan kerajaan PH pada 24 Februari lalu.

Aksi Sajat cium Kaabah dengan penampilan menyerupai wanita dikecam masyarakat Islam di negara ini.