Persenda isu keselamatan, filem Banglasia diharamkan

Persenda isu keselamatan, filem Banglasia diharamkan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, filem ‘Banglasia’ yang diarahkan oleh pengarah Namewee diharamkan kerana mempersenda isu-isu keselamatan negara, terutama kes pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Beliau berkata, filem tersebut juga memperlekeh keupayaan dan peranan pasukan keselamatan dalam memelihara keamanan dan keselamatan negara.

Selain itu, filem yang turut membariskan pelakon dari Bangladesh dan Singapura dan Malaysia itu, ujarnya, mengandungi tohmahan dan persepsi negatif ke atas agensi kerajaan berhubung isu kewarganegaraan.

“Menonjolkan gaya hidup dan sosiobudaya negatif seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LBGT),” jelasnya yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam.

Menurutnya, filem tersebut juga tidak diluluskan kerana dikhuatiri mengundang kontroversi dan keraguan masyarakat serta mempunyai tajuk, jalan cerita, adegan dan dialog dwi maksud serta mempunyai mesej tersirat.

‘Banglasia’ yang merupakan filem genre aksi komedi dijadual ditayangkan di seluruh negara pada Januari 2014 lalu sempena sambutan Tahun Baru Cina tetapi diharamkan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

TAGS