Malaysia Dateline

Persenda Presiden Parti: Akmal maklum sudah bertemu Anwar

Selepas tersebar perbualan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir yang didakwa mempersenda Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini beliau memaklumkan sudah bertemu Presiden PKR itu di Parlimen tadi.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Akmal berkata, beliau telah menjelaskan kekhilafan yang berlaku berhubung perbualan yang tersebar membabitkan dirinya dan beberapa pemimpin AMK yang lain.

Katanya juga, Anwar telah menyatakan harapan agar isu tersebut tidak dipanjangkan lagi.

“Alhamdulillah, saya telah bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini. Saya mengambil kesempatan untuk menjelaskan kekhilafan yang berlaku dan beliau berharap isu ini tidak dipanjangkan lagi.

“Saya juga mengambil pesanan Presiden untuk seluruh anggota Keadilan bergerak ke hadapan dan fokus dalam melaksanakan amanah Reformasi.

“Kita Keadilan adalah satu keluarga. Perbezaan sesama kita perlu diraikan selagi perbezaan itu bernaung di bawah prinsip dan idealisme reformasi,” katanya.

Terdahulu, tular tangkap layar perbualan WhatsApp antara Akmal dan beberapa pemimpin lain dalam sayap pemuda PKR yang dikatakan menghina Anwar.

Perbualan itu jelas menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Anwar berikutan telah beberapa kali dikecewakan oleh pemimpin nombor satu parti itu.

Berdasarkan perbualan itu, perasaan tidak puas hati timbul berikutan kegagalan Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti, sekali gus menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Susulan itu, beberapa pihak dari AMK sendiri mula mendesak agar Akmal meletakkan jawatan kerana dianggap membelakangkan dan mengkhianat Presiden mereka.