Persepsi dan naratif Anwar-Mahathir yang berubah

Persepsi dan naratif Anwar-Mahathir yang berubah

Dalam politik demokrasi yang mengumpul suara awam untuk menentukan duduk letak sesuatu perkara, antara yang paling menyumbang dan menyusahkan adalah persepsi.

Persepsi positif membawa tuah, persepsi negatif membawa rebah.

Persepsi inilah yang banyak mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh masyarakat ramai. Jika persepsi menyebelahi kita, beruntunglah.

Sayang sekali, persepsi bukan perkara yang boleh dengan mudahnya dikawal sendiri oleh kita. Seringkali, persepsi akan terbina sendiri bertolak dari naratif yang sedang berlangsung.

Biar persepsi tidak sewenangnya boleh dikawal, naratif pula adalah sebaliknya. Benar, naratif juga muncul dan sering berkembang atau bergerak sesuai situasi semasa, namun ia tidak terlahir dengan sendiri.

Sebuah naratif, dalam konteks politik terutama sekali terlahir lazimnya dari pertuturan dan tindak-tanduk kita. Dalam erti kata lain, jika kita mampu mengawal tutur dan tindakan kita, maka kita boleh mengawal naratif tersebut.

Soal yang tinggal hanyalah siapa mampu mengawalnya dengan lebih baik.

20 tahun lalu, naratif politik yang dikawal oleh Anwar Ibrahim berjaya menggerakkan Reformasi, dan menenggelamkan populariti Dr Mahathir Mohamad.

Untuk hampir dua dekad seterusnya, persepsi yang terbina ke atas Dr Mahathir kekal sebegitu. Kebobrokan Umno yang pernah dipimpin Dr Mahathir malah mengabsahkan naratif yang dipandu oleh Anwar Ibrahim.

Biar Perdana Menteri bersilih ganti, Dr Mahathir kekal sebagai watak antagonis utama. Persepsi ini telah membantu kelangsungan pembangkang sewaktu itu.

Anehnya, Dr Mahathir tidak pula menunjukkan sebarang minat untuk membaiki persepsi yang telah terbina. Tiada naratif lawan yang dilancarkan beliau ke atas Anwar.

Yang ada cuma tutur dan tindakan sinis yang langsung tidak membantu membaiki imejnya. Hampir pasti, andai Pakatan Rakyat menang pada 2008 atau 2013, dan sejarah ditulis semula – Dr Mahathir bakal jadi watak paling dibenci.

Dua dekad kemudian, iaitu hari ini – naratif politik telah berubah. Dengan sendirinya juga, persepsi masyarakat ramai turut ikut berubah.

Ringkasnya, Dr Mahathir, yang selama ini dikenali sebagai watak jahat menjadi penyelamat negara yang bakal dikenang sampai bila-bila.

Segala persepsi negatif ke atas beliau yang saban tahun terbina langsung terburai.

Dari seorang diktator, beliau kini diangkat sebagai demokrat. Dari seorang konservatif, beliau kini dilihat sebagai progresif. Dari seorang koruptor, beliau kini digelar reformis. Apa yang telah berlaku?

Seperti awal yang ditulis, persepsi terbina dengan sendiri. Ia tidak boleh dipaksa, ia juga tidak boleh dilawan sebegitu sahaja. Persepsi tumbuh dengan sendiri, namun benihnya masih perlu ditanam dan disemai.

Naratif baharu yang dimulakan oleh Dr Mahathir tidak lahir dengan sendiri. Akui sahajalah bahawa ia diusahakan sepenuh kudrat tua beliau.

Alangkah tidak masuk akal melihat orang-orang yang selama ini dipenjara oleh Dr Mahathir sendiri, memuji beliau setinggi langit. Bukan kerana habuan politik – tapi kerana naratif yang disemai oleh Dr Mahathir sendiri.

Naratif yang terlahir hasil tindak-tanduk dan tutur beliau. Tubuh tua yang tidak henti ke sana ke mari berkempen menentang Najib Razak, itulah pengisian naratif yang disemai beliau.

Segala kebobrokan Dr Mahathir terhapus dan seolah dimaafkan. Segala persepsi yang sedang dinikmati beliau hari ini seolah jauh lebih baik berbanding ketika beliau 22 tahun memerintah dahulu.

Menyanggah beliau dilihat sebagai perbuatan yang salah. Itulah kuasa naratif, itulah kuasa persepsi.

Jika kita berupaya mengawal tindak tanduk dan tutur kita sebaik Dr Mahathir, kita akan berjaya.

Bagaimana dengan naratif yang digerakkan oleh Anwar Ibrahim dahulu?

Naratif yang menyambung hayat politik pembangkang selama berdekad.

Apakah dengan adanya naratif dan persepsi baharu ini, yang lama dibiar sahaja untuk dilupakan? Tepuk dada tanya selera.

*Penulis adalah bekas aktivis mahasiswa  kini menyambung pengajian di UPSI.

COMMENTS

Wordpress (0)