Malaysia Dateline

Persepsi psaikologi pengundi ‘segalanya ok’, faktor keluar mengundi merosot, kata Ide

Dalam kajian Institut Darul Ehsan (Ide) mendapati peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Balakong dan Seri Setia merosot disebabkan lima faktor utama yang mempengaruhi kecenderungan terhadap 115,714 pemilih berdaftar untuk keluar mengundi pada 8 Ogos lalu.

Ini menunjukkan keputusan peratusan keluar mengundi bagi kedua-duanya di bawah paras 50%.

PRK Seri Setia mencatatkan peratusan turun mengundi 44% manakala bagi DUN Balakong adalah 43%. Tiga PRK yang telah berlangsung pasca PRU 14 termasuk PRK Sg Kandis memperlihatkan peratusan turun mengundi adalah di bawah 50%.

Ide dalam analisisnya menyatakan lima faktor tersebut antarnya kesan persempadanan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) di Dun Seri Setia.

“Pengundi melalui 3 pilihan raya sejak 14 tahun lalu tanpa persempadanan baru. Pengundi turun mengundi pada 9 Mei 2018 yang lalu, mengundi bukan kerana dia tahu parlimen atau DUN berkaitan, tetapi turun mengundi atas semangat pilihan raya dan proses demokrasi,” ujarnya.

Oleh itu Ide mencadangkan agar inovasi baru wajar diterokai seperti negara-negara lain umpama Indonesia, UK dan US yang mempunyai kaedah mengundang pengundi datang dengan surat, kad atau pesanan telefon untuk turun mengundi.

Keduanya pengundi ‘dihantui’ persepsi negatif terhadap proses pilihan raya Mei 2018.

Komen masyarakat awam khususnya yang berumur mempunyai impak psikologi apabila masih ‘trauma’ dengan situasi yang berlaku dalam PRU 14 yang lalu. Suasana keluar mengundi PRU 14 di kebanyakan tempat cukup luar biasa hinggakan pengundi terpaksa beratur panjang, suasana panas, dan saluran yang mungkin tidak sesuai khususnya di waktu puncak. Respon yang diterima IDE, masyarakat merasa letih dan takut untuk beratur panjang. Pengalaman negatif yang mereka lalui semasa PRU 14 yang lalu masih menghantui pengundi.

Ketiga berkaitan persepsi saikologi pengundi yang merasakan “segalanya ok” (complacent feel good factor)

Pengundi yang turun mengundi kebanyakannya pengundi berumur 40 tahun ke 60 tahun terdiri di kalangan ahli parti dan penyokong tegar parti.

“Rata-rata pengundi atas pagar yang ditemui merasakan mereka tiada objektif besar terhadap PRK kali ini dan menjangkakan Pakatan Harapan akan menang. Pengundi dalam kategori ini merasakan mereka tiada motivasi khusus untuk keluar pengundi kerana Pakatan Harapan kekal memerintah Selangor dan seterusnya Putrajaya (Kerajaan Persekutuan) telah berubah daripada Barisan Nasional ke Pakatan Harapan.

“Perubahan yang berlaku selepas 60 tahun ini, menjadikan motivasi masyarakat seolah-olah mereka tiada motivasi khusus untuk menukar kerajaan. Persepsi ini memberi tanda aras bahawa masyarakat masih memberi ruang kepada Pakatan Harapan untuk terus memperjuangkan isu-isu rakyat.” ujar Ide.

Manakala faktor keempat tarikh PRK yang tidak sesuai dengan mood cuti panjang.

Pelbagai lapisan masyarakat di DUN Seri Setia dan DUN Balakong khususnya, telah merancang cuti luar kawasan sejak awal memanfaatkan cuti panjang dalam tempoh 3 minggu ini hingga ke cuti sambutan Hari Malaysia 16 September 2018 pada minggu hadapan.

“Wajar SPR untuk menilai dan mempertimbangkan suasana sesuai untuk mengadakan pilihan raya dengan mendapat maklum balas daripada parti-parti utama yang bakal bertanding. Faktor keempat ini menyebabkan PRK Balakong dan Seri Setia peratusan mengundi berbeza 5% ke 6% jauh lebih rendah dari PRK Sungai Kandis. Tempoh berkempen 21 hari juga memenatkan jentera pilihan raya yang sukar untuk secara konsisten bermotivasi tinggi berkempen dalam tempoh tersebut.”

Dan faktor kelima punca kemerosotan keluar mengundi adalah suasana pengudnian Lembah Kelang yang terdiri di kalangan penduduk bandar dan pinggir bandar.

PRK Sungai Kandis, PRK Seri Setia dan PRK Balakong, sebahagian besar demografi dan geografi penduduknya boleh dikategorikan sebagai pengundi-pengundi bandar dan pinggir bandar. Demografi masyarakat berdekatan dengan ibu kota merupakan masyarakat yang digolongkan sebagai “smart voters” yang tidak mudah bergantung kepada sentimen semata-mata, kata Ide.

“Mereka ini adalah pengundi yang saban hari mudah menerima pendedahan isu-isu politik dari media cetak, elektronik dan media sosial. Psikologi mereka juga mungkin telah muak untuk ‘berpolitik’ dalam suasana PRU 14 baru berlalu dalam masa 3 bulan.

“Peratusan turun mengundi di PRK lain sebagai contoh PRK Sungai Besar (74%), PRK Kuala Kangsar (71%), PRK Teluk Intan (67.4%), PRK Rompin (73%), PRK Sungai Limau (85.5%). Kesemua PRK yang dinyatakan di atas demografi dan geografi penduduk adalah berlainan dengan tiga PRK ini iaitu di luar Lembah Kelang,” ujar kajian Ide itu lagi.