Persetujuan dwipihak elak tutup kerajaan: reaksi Trump undang ketidakpastian

Persetujuan dwipihak elak tutup kerajaan: reaksi Trump undang ketidakpastian

Ketidakpastian terus menyelubungi apabila Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa berkata beliau tidak gembira dengan persetujuan dwipihak yang dicapai secara dasar oleh penggubal undang-undang bagi mengelak penutupan kerajaan negara itu, lapor agensi berita China Xinhua.

“Saya tak boleh kata saya gembira. Saya juga tak boleh kata saya amat teruja,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih ketika mengulas mengenai persetujuan yang dicapai itu.

Bagaimanapun, presiden itu tidak menyatakan sama ada beliau akan menandatangani atau menggunakan kuasa veto ke atas persetujuan tersebut, dan menyebut bahawa beliau akan mengadakan satu mesyuarat bagi membincangkannya kemudian.

“Kita pasti tidak mahu menyaksikan satu lagi penutupan kerajaan,” kata Trump sambil menambah bahawa “semuanya” telah dibentangkan dan beliau perlu meneliti lebih lanjut butiran persetujuan yang dicapai pada Isnin malam berkaitan pembiayaan serta keselamatan di sempadan.

Terdahulu pada Selasa, Timbalan Setiausaha Akhbar Rumah Putih Hogan Gidley berkata pihaknya tidak pasti sama ada Trump akan memberikan lampu hijau kepada persetujuan itu.

“Secara jujurnya, kami belum pasti lagi,” kata Gidley kepada Fox News semasa ditemu bual.

“Ia tidak konsisten dengan apa yang kami dengar daripada jawatankuasa persidangan itu …Jadi, sehingga kami melihatnya sendiri, amat sukar untuk memberikan sebarang komen mengenainya.”

“Rumah Putih sudah dimaklumkan,” kata Senator Republikan Richard Shelby, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Peruntukan Senat pada Isnin malam ketika mengumumkan bahawa “satu persetujuan secara dasar” telah dicapai bagi mengelak penutupan kerajaan, tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Media tempatan, yang memetik sumber kongres, pada Selasa melaporkan bahawa rang undang-undang itu bakal menyaksikan sejumlah US$1.375 bilion diperuntuk bagi pembinaan penghalang fizikal di sepanjang sempadan AS-Mexico.

Trump sebelum ini mendesak agar pembiayaan sebanyak US$5.7 bilion diberikan untuk membina tembok di sempadan, yang merupakan janji istimewa pada kempen pemilihan presiden beliau.

Pengerusi Peruntukan Dewan berkata di bawah perjanjian tentatif semasa, pembiayaan sebanyak US$1.375 bilion itu adalah untuk pembinaan penghalang fizikal dan bukan tembok di beberapa bahagian di sempadan AS-Mexico.

Menyentuh satu lagi perbezaan pendapat berhubung jumlah katil bagi tahanan di bawah Penguatkuasaan Kastam dan Imigresen (ICE) yang tidak memiliki dokumen, laporan CNN pada Selasa menyebut bahawa perunding kedua-dua pihak mungkin bersetuju dengan bilangan 40,520.

Penggubal undang-undang Demokratik cuba mengehadkan jumlah katil bagi tahanan ICE kepada 35,520 manakala Rumah Putih dan Republikan meminta ia dinaikkan kepada 52,000.

“Tiada pihak yang mendapat semua yang mereka mahukan” pada minggu-minggu rundingan dwipihak berlangsung, kata seorang perunding Demokratik Nita Lowey pada Selasa dan menyifatkan persetujuan itu sebagai satu “kompromi.”

— BERNAMA