Persiap pasukan muda untuk ambil alih PH

Oleh BORHAN AHMAD

Kenapa saya fikir PH perlu pimpinan utama yang baru di kalangan yang jauh lebih muda? Kalau tak boleh bawah 55 tahun pun, dapat bawah 60 tahun pun jadi la.

Satu, usaha untuk mendapatkan semula kerajaan dari penguasaan BN akan memakan masa yang lama. Pastinya tidak akan berlaku dalam PRU15. Malah PRU16 juga belum tentu. Mungkin dua atau tiga kali PRU lagi. Jadi, naratif politik bagi membina kemenangan untuk masa tersebut perlu dibina dari sekarang.

Bukan sahaja bakal PM, tetapi juga anggota pasukan yang bersamanya perlu dibina dan diserasikan dari sekarang. Biar semua anggota pasukan kepimpinan ini membuktikan keupayaan mereka untuk jangka masa tertentu. Biar rakyat dan pendokong mereka dapat melihat sendiri bagaimana mereka diuji dan mereka ada ruang yang lebih besar membuktikan keupayaan mereka.

Kalau mereka berumur 50-an hari ini, dan kita andaikan mereka memimpin kerajaan persekutuan sepuluh tahun lagi, maka umur mereka masa itu mencecah 60-an. Saya fikir, tahap umur sebegini sangat sesuai untuk diberi amanah memimpin negara.

Kedua, untuk merubah sistem dan amalan kerajaan kepada yang lebih baik juga memerlukan masa. Secara munasabahnya, dua penggal diperlukan. Mungkin agak terlalu idealistik untuk merubah kerajaan secara sistemik dan institusional dalam tempoh sepenggal.

Jadi, sekiranya kepimpinan utama yang ingin ditonjolkan oleh PH untuk mengambil-alih kerajaan sekarang ini sudah berumur 70-an, agak-agak bila pula mereka dapat ambil alih kerajaan dan berapa pula masa yang mereka perlukan untuk melakukan perubahan terhadap institusi utama kerajaan?

Kenapa tidak kita persiapkan pasukan untuk Malaysia Baharu dari sekarang bagi mengambil alih tampuk kerajaan di masa depan secara lebih terancang dan bersepadu!