Persiapan skuad ‘The City Hawks’ terjejas

Persiapan skuad ‘The City Hawks’ terjejas

Kemelut pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) bagi penggal 2018-2022 yang masih belum selesai, ternyata menjejaskan persiapan pasukan Kuala Lumpur untuk menghadapi saingan Liga Super 2019.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa berkata berikutan isu itu, skuad ‘The City Hawks’ terpaksa melupakan hasrat mendapatkan khidmat beberapa pemain bagi memperkuatkan pasukan apabila mereka mula mengikat kontrak dengan pasukan lain, sementara menunggu keputusan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSM).

“Malah, KLFA juga menghadapi kesukaran dalam melepaskan pemain lama dan mencari penaja berikutan kemelut itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang keputusan atau panggilan untuk bersemuka dengan PSM, walaupun sudah seminggu sejak pejabat pesuruhjaya itu mengarahkan KLFA menangguhkan kongresnya yang dijadual pada Ahad lalu.

“Memang dalam dilema. Macam mana nak bawa masuk pemain baharu jika kemelut pemilihan belum selesai? Kita ada kenal pasti tujuh pemain baharu yang berkualiti untuk membantu kita bersaing dengan lebih baik dalam Liga Super tetapi susulan kemelut ini, kami tidak dapat memuktamadkan apa-apa.

“Pemain terbabit sudah mula menandatangani kontrak dengan pasukan lain kerana pendaftaran pemain untuk 2019 akan bermula 29 Nov ini. Jadi kami kena kekalkan sebahagian pemain musim lepas selain mengambil pemain daripada skuad Piala Belia, Piala Presiden serta menerusi pemilihan,” katanya.

Juara Liga Premier 2017 itu dijangka mengekalkan tiga daripada lima pemain importnya – Guilherme de Paula dan Paulo Josue dari Brazil, serta pemain pertahanan dari Indonesia, Achmad Jufriyanto yang masih mempunyai baki kontrak bersama pasukan berkenaan.

Pada Jumaat lalu, Pesuruhjaya Sukan Datuk Zaiton Othman mengarahkan KLFA menangguhkan kongresnya bagi memberi ruang kepada proses siasatan dan pendengaran dilakukan selepas beberapa ahli gabungan menghantar surat bantahan kepada PSM kerana tidak berpuas hati dengan pelaksanaan pemilihan itu. ??????

?Kemelut itu bermula apabila Nokman mengumumkan penyandang jawatan presiden, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan mempertahankan jawatan itu apabila pencabarnya, Datuk Rashid Hasnon yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, mendapat kurang daripada 40 peratus pencalonan untuk bertanding bagi jawatan presiden berdasarkan statut KLFA.

“Saya pun pening dan tidak tahu berapa lama kemelut ini akan berlarutan. Mengikut statut, kami kena berikan notis sebulan untuk panggil mesyuarat tetapi kita tidak tahu bila perkara ini akan selesai. PSM tidak sepatutnya menangguhkan kongres itu,” katanya.

Kuala Lumpur yang pernah muncul juara Piala Malaysia tiga kali berturut-turut pada 1987, 1988 dan 1989, menamatkan saingan Liga Super 2018 di kedudukan ke-10 dalam kalangan 12 pasukan bertanding.

— BERNAMA