Malaysia Dateline

Persidangan Belanjawan penentu hidup mati kerajaan Muhyiddin

Sebagai Ketua Majlis Mesyuarat Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh bertindak mengubah tarikh mesyuarat menurut perintah 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Sebagaimana pada Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas baru-baru ini telah disingkatkan dari 15 hari kepada hanya 1 hari tanpa dibenarkan sebarang Pertanyaan dan Usul-Usul khasnya Usul Undi Tidak Percaya.‬

Namun, menurut aktivis politik Abd Malek Hussin pada persidangan Parlimen sesi Belanjawan nanti Muhyiddin terpaksa akur untuk memanggil Ahli Parlimen bersidang.

Bagi Malek Hussin persidangan sesi Belanjawan itu nanti merupakan sesi hidup mati Kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ini kerana katanya, jika Belanjawan gagal diluluskan dalam Dewan Rakyat, Muhyiddin tiada pilihan kecuali meletakkan jawatan dan Kerajaan Perikatan Nasional akan tumbang tanpa perlu dikemukakan Usul Undi Tidak Percaya.

Beliau juga percaya Mesyuarat Kedua yang akan berlangsung pada 13 Julai hingga 27 Ogos 2020 selama 25 hari dengan Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 ditangguhkan ke suatu tarikh yang tidak diketahui.‬

“Tiada jaminan Mesyuarat Kedua tidak disingkatkan oleh PM Muhyiddin di saat terakhir jika terdapat Usul Undi Tidak Percaya dikemukakan,” katanya.

Mesyuarat Ketiga dipinda jadual persidangan dengan Rang Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan) ditunda ke tarikh pembentangannya dari 2 Oktober ke 6 November 2020.

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof, selaras dengan itu mesyuarat ketiga selama 27 hari yang akan turut menyaksikan pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 oleh Menteri Kewangan.

Menurut portal rasmi Parlimen Malaysia, mesyuarat ketiga itu sepatutnya berlangsung dari 28 Sept hingga 26 Nov 2020, dengan persidangan berjalan selama 36 hari.