Persidangan Iconset 2019 langkah proaktif Malaysia peneraju revolusi perindustrian 4.0

Persidangan Iconset 2019 langkah proaktif Malaysia peneraju revolusi perindustrian 4.0
Rektor UiTM Pulau Pinang, Prof Madya Ts Dr Mohd Hisbany Hashim(tiga dari kanan) bersama peserta luar negara semasa Persidangan Antarabangsa Iconset 2019.

Penganjuran Persidangan Antarabangsa Nanobahan: Sains, Kejuruteraan & Teknologi (Iconset) 2019 selama dua hari  yang  berakhir hari ini, amat tepat dan kena masanya sebagai langkah proaktif bagi menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam revolusi perindustrian 4.0.

Rektor UiTM cawangan Pulau Pinang, Prof Madya Ts Dr Mohd Hisbany Hashim berkata, program yang julung-julung kali dianjurkan tersebut memberi ruang untuk peserta berkongsi idea, ilmu dan penemuan terkini dari pelbagai rentas bidang mencakup bidang nanobahan.

Malah ujarnya lagi, persidangan ini turut menarik perhatian dan penyertaan penyelidik lima buah negara termasuk Indonesia, Jepun, Iran, Arab Saudi dan Jordan.

“Persidangan ini memberi banyak manfaat kepada para peserta yang terdiri daripada 12 universiti dan penyelidikan dalam negara serta pemaIn industri seperti Petronas sebagai pembentang kertas kerja.

“UiTM Cawangan Pulau Pinang berhasrat untuk menjadi hub perkongsian pintar dalam bidang nanoteknologi dengan kerjasama pintar antara universiti luar negara dan pemain industri dalam penyelidikan dan inovasi rentas bidang yang lestari dan hijau yang bermanfaatkepada masyarakat,” ujarnya ketika ditemui hari ini.

Iconset 2019 yang diadakan ini, anjuran Fakulti Kejuruteraan Kimia UiTM cawangan Pulau Pinang dengan kerjasama rakan strategik dari Universitas Indonesia dan Universitas Pertamina, Indonesia itu, telah berjaya menghimpunkan lebih 160 penyertaan ahli akademik, penyelidik, saintis, pemain industri dan pelajar dari dalam dan luar negara.

Prof Madnya Dr Ir Asep Handaya Saputra

Tambah beliau, lokaliti UiTM cawangan Pulau Pinang di Permatang Pauh begitu strategik kerana berhampiran dengan industri di Pulau Pinang serta bakal merancakkan bidang ini serta memasyarakatkan universiti.

Sementara itu Prof Madya Dr Ir Asep Handaya Saputra dari Universitas Indonesia ketika ditemui berkata, pertemuan ini mampu memberi impak yang amat baik kepada peserta dan juga para penyelidik serta saintis bagi mendapat tindak balas serta maklumat terkini dari pelbagai buah negara serta peserta yang mewakili institusi pendidikan masing-masing.

“Ia merupakan persidangan internasional yang amat baik kerana mampu memberi impak yang positif khususnya dalam bidang penyelidikan dan sains yang dibentangkan.

“Selain itu ia para peserta dari luar negara khususnya dapat berinteraksi secara terus mengenai pelbagai maklumat terkini yang boleh dikongsi bersama.

Duados Budi Susanto

“Disamping itu hubungan antara negara seperti Malaysia dan Indonesia dapat terus dijalinkan dan dieratkan melalui program keilmuan yang diadakan kini, ” jelasnya.

Manakala Duados Budi Susanto dari Universitas Pertamina pula berkata, ia menyambut baik persidangan yang diadakan kali ini.

“Persidangan Iconset ini dilihat sebagai medan untuk mendapat tambahan idea dan ilmu dalam kepakaran bidang tertentu yang dipaparkan.

“Ia bukan saja menarik dan memberi banyak pendedahan ilmu, tetapi juga memberi ruang untuk mecambahkan peluang yang ada khususnya dalam bidang sains dan industri.

“Program ini juga berjaya memberi pendedahan mengenai pelbagai bidang dan skop yang boleh dimanfaatkan kepada pelajar, peserta serta Universitas Pertamina, Indonesia, ” katanya.

Antara peserta dalam dan luar negara semasa Persidangan Antarabangsa Iconse 2019 di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.