Persidangan kebangsaan Orang Asli pada 11 Jan

Persidangan kebangsaan Orang Asli pada 11 Jan

Satu persidangan Orang Asli peringkat kebangsaan akan diadakan pada 11 Jan depan bagi membincangkan cadangan serta tindakan proaktif dalam menyelesaikan pelbagai  isu yang dihadapi oleh 200,000 orang masyarakat itu di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy berkata persidangan itu  anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia melibatkan penyertaan pemimpin masyarakat Orang Asli, masyarakat sivil dan ahli akademik.

“Persidangan itu akan didahului dengan perbincangan meja bulat pada 6 Jan untuk mengenal pasti isu-isu utama yang dihadapi masyarakat itu termasuk hak tanah, akses infrastruktur, pendidikan, jurang digital dan pemerkasaan belia.

“Penemuan serta  resolusi daripada  persidangan kebangsaan ini akan dibawa kepada masyarakat Orang Asli untuk pendapat mereka dan selepas itu suatu pelan tindakan induk akan disediakan untuk dibentangkan ke kabinet bagi pengesahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang pada 1 Jan supaya satu persidangan Orang Asli peringkat kebangsaan diadakan untuk merumuskan satu pelan tindakan bagi menaikkan taraf hidup masyarakat Orang Asli di Malaysia.

Waytha Moorthy yakin persidangan itu dan pelan tindakan Orang Asli yang akan digubal nanti dapat menangani isu-isu yang sekian lama dihadapi oleh masyarakat Orang Asli dan  sekali gus memenuhi janji manifesto pilihan raya kerajaan Pakatan Harapan kepada masyarakat Orang Asli.

— BERNAMA