Malaysia Dateline

Persoalan belum terjawab, yang pasti Umno kekal dalam kerajaan PN

Daripada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan, selepas mesyuarat Majlis Tertinggi semalam, hanya dua daripada enam persoalan yang kita bangkitkan terjawab. Tapi itu pun tidak mutakhir.

1. Keluar kerajaan Perikatan Nasional atau tidak?  Jawabnya: Tidak. Hal itu akan tentukan di Perhimpunan Agung Umno 31 Januari ini. MKT bersetuju membawa usul memutuskan hubungan dengan Bersatu ketika pilihan raya umum ke perhimpunan agung.

2. Bekerjasama dengan Pakatan Harapan, termasuk DAP, atau dengan Pas melalui Muafakat Nasional.
Jawabnya: Kerjasama dengan PH tidak disebut tetapi usul mempertahan kerjasama dengan PAS melalui MN akan dibawa ke perhimpunan agung.  Satu lagi usul adalah menggesa supaya PRU diadakan dalam suku pertama tahun ini, tertakluk kepada keadaan Covid-19.

3. Kenyataan Shahril itu tidak menyentuh atau menyebut isu-isu lain yang kita bangkitkan.

4. Saya yakin sesetengah daripadanya dibincangkan tetapi, boleh jadi, terlalu sensitif untuk didedahkan kepada umum.

5. Jadi nampaknya, sepanjang mengenai pendirian rasmi Umno, tidak akan berlaku perubahan kerajaan sehingga PRU baru diadakan. Maksudnya Umno kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional.

6. Tetapi ini bukanlah kepastian kerana ahli-ahli perseorangan Umno masih boleh mengadakan rundingan rahsia dengan Muhyiddin Mohd Yassin yang mahu kekal sebagai Perdana Menteri dan Anwar Ibrahim yang hendak menjadi Perdana Menteri.

7. Kita kena sentiasa ingat iaitu dalam menjalankan tugas-tugas parti, pemimpin-pemimpin Umno yang sudah didapati bersalah atau yang sedang dibicarakan terpaksa juga memikirkan tentang penjara yang menanti mereka.

8. Bagi mereka, kemenangan mana-mana gabungan yang disertai oleh Umno dalam PRU akan datang bermakna selamatlah mereka daripada perbicaraan dan penjara.

9. Jadi pilihan raya yang dituntu-tuntut itu adalah lebih untuk mereka daripada untuk Umno dan rakyat jelata. Kita kena faham dan hadapi realiti. Tanya diri kita, adakah kita rela masuk penjara?

10. Kesimpulannya masih banyak persoalan yang belum terjawab dan “manoeuvre” di kalangan parti serta individu yang berkepentingan akan berlarutan.

Jadi tidak hairanlah kalau kita makin kerap mendengar pertanyaan: “Who is running the country now?”

Wallahuaklam.Terima kasih.

 

SOALAN SEBELUM INI

Jawapan Yang Ditunggu

Antara jawapan yang pastinya dinanti-nanti oleh ahli Umno, bukan ahli Umno, rakan Umno dan musuh Umno daripada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno malam ini adalah:

1. Keluar kerajaan Perikatan Nasional atau tidak.

2. Bekerjasama dengan Pakatan Harapan, termasuk DAP,

3. Atau dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN)?

4. Sokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri atau tidak.

5. Ahmad Zahid Hamidi mengaku sokong Anwar dan utus surat sokongan kepada Yang di-Pertua Agong atau tidak.

6. Rundingan dengan Muhyiddin Mohd Yassin dan Anwar bagi pihak parti atau untuk mengelak daripada masuk penjara.