Malaysia Dateline

Persoalan mengenai prestasi PNB

Dalam tulisan minggu lalu dalam akhbar Sinar Harian, saya telah mencadangkan agar kita memikirkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Rekonsiliasi Nasional bagi menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pihak-pihak yang melakukan jenayah ketika mengurus aset negara atau gagal menunaikan tanggungjawab fidusiari.

Adalah amat tidak sesuai dan mencurigakan apabila watak-watak yang terbukti telah melakukan kesilapan besar dalam pengurusan harta negara, sama ada sebagai kakitangan awam atau pengurus korporat, terus dilantik ke jawatan tinggi dalam pentadbiran dan korporat.

Kehadiran mereka ini menyebabkan pelabur dan pihak-pihak yang terlibat menyokong ekonomi kita hilang keyakinan sehingga menarik diri daripada pasaran modal kita atau memberi penarafan yang rendah kepada ekonomi kita.

Apabila hal ini berlaku, pelaburan dalam pasaran modal kita berkurangan, harga saham syarikat-syarikat kita jatuh, kadar tukaran mata wang kita merosot dan modal asing mengalir keluar.

Inilah antara punca mengapa kadar pulangan yang diisytiharkan oleh tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) semakin tahun semakin berkurangan.

Itu belum diambil kira kesan jangka pendek kemelesetan ekonomi negara dan dunia.

Ambil contoh pulangan lima peratus Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan 2021 yang diumumkan oleh PNB pada 23 Disember lepas. Ia sama seperti tahun lalu dan berupa kadar paling rendah sejak tahun 1990.

Ketidakmampuan PNB mengisytiharkan kadar pulangan yang lebih baik kepada pelabur ASB, walaupun ekonomi negara dan dunia bertambah pulih tahun ini, mencetuskan persoalan tentang keadaan sebenar yang sedang dideritainya.