Malaysia Dateline

Persoalan transisi PM perlu diputuskan Majlis Presiden PH, bukan pihak lain

Pengarah Komunikasi Parti AMANAH, Khalid Abd Samad berkata, AMANAH ingin menegaskan sikap dan pendiriannya sekali lagi bahawa persoalan transisi dan kedudukan Perdana Menteri hendaklah diputuskan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan bukan oleh mana-mana individu atau badan yang lain.

“Oleh itu, perbincangan mengenainya oleh mana-mana pihak atau badan selain dari Majlis Presiden Pakatan Harapan adalah sia-sia dan tidak bermakna.

“Sepertimana Majlis tersebut telah menentukan Perdana Menteri ke-7, begitu juga Majlis yang sama akan menentukan Perdana Menteri ke-8 dan masa serta kaedah ianya akan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, AMANAH juga ingin menegaskan bahawa mandat telah diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu untuk Pakatan Harapan mentadbir negara ini secara bersama antara PKR, Bersatu, DAP dan AMANAH.

Oleh itu ujar beliau, sebarang cadangan untuk menubuhkan kerajaan tanpa AMANAH dan DAP atau tanpa Bersatu adalah pelanggaran terhadap mandat tersebut dan tidak wajar dilayan dan diraikan.