Pertabalan Agong : Menteri Kabinet zahir ucapan tahniah

Pertabalan Agong : Menteri Kabinet zahir ucapan tahniah

Menteri-menteri Kabinet merafak sembah ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, hari ini.

Mereka turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai Raja Permaisuri Agong.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata titah Seri Paduka harus dihayati semua rakyat dalam usaha membina negara yang lebih harmoni.

“Merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Seri Paduka kerana selamat ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, hari ini.

“Menjunjung titah baginda, kita semua (menteri dan rakyat) harus bersama menjaga perpaduan negara agar negara terus aman dan makmur,” katanya ketika ditemui media selepas selesai Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara di sini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng turut menzahirkan sembah tahniah kepada Seri Paduka sambil mengharapkan semua rakyat dapat bersama merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Titah Seri Paduka hari ini, amat bermakna dan kita harus pastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 itu dapat dicapai untuk masa depan rakyat sekarang dan akan datang,” katanya.

Sultan Abdullah dalam titah diraja pada istiadat itu menitahkan semua pihak supaya jangan sekali-kali mencetuskan api perselisihan dengan membangkitkan perkara yang boleh menggugat dan meruntuh keharmornian negara.

Seri Paduka menegaskan bahawa perpaduan dan keharmonian rakyat adalah tiang seri dan kekuatan negara.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendapat dukungan kuat dari rakyat Malaysia, berikrar dan bertekad untuk mempertahankan institusi raja-raja dalam negara ini.

“Hubungan baik ini pastinya dapat menjamin kestabilan dan keharmonian dalam negara kita,” katanya.

Menyentuh mengenai titah ucapan Seri Paduka, beliau menyatakan rasa terharu apabila Sultan Abdullah menzahirkan sendiri penghargaannya kepada Dr Mahathir sebagai negarawan ulung yang dapat meneruskan tradisi kepimpinan dan menjaga hubungan baik antara institusi raja-raja, kerajaan serta rakyat.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menyifatkan titah Sultan Abdullah yang menyentuh mengenai perpaduan sebagai satu nasihat dan peringatan buat rakyat Malaysia.

Katanya pihak keselamatan negara akan sentiasa bekerja keras bagi memastikan sebarang unsur-unsur yang boleh menimbulkan kekacauan tidak berlaku di dalam negara.

“Ini nasihat penting oleh baginda, kerana kita tidak mahu apa yang berlaku di negara bergolak, berlaku di negara kita, jika ada perbezaan pendapat kita uruskan dengan baik,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong pula berkata kemakmuran negara amat penting bagi memastikan perpaduan rakyat dan diharap ia akan berterusan di bawah pemerintahan Sultan Abdullah.

Selain itu, katanya, diharapkan juga negara akan terus stabil, makmur dan dapat ditadbir dengan baik di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hari ini, Malaysia menjadi tumpuan rakyat dan masyarakat luar negara apabila Sultan Abdullah secara rasminya ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, dan menandakan permulaan pemerintahan Seri Paduka sebagai Ketua Utama Negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Seri Paduka yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Jan menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja, 24 Jan lepas.

Seri Paduka melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan lepas.- BERNAMA