Malaysia Dateline

Pertahan DG: Speaker hilang sabar, gantung MP DAP 5 hari

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng digantung selama lima hari selepas bertikam lidah dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kerana mempertahankan isu penghinaan terhadap Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

Ia berikutan dakwaan beliau bahawa keputusan yang dibuat oleh Timbalan Speaker Datuk Seri Azalina Othman Said semalam sebagai ‘bodoh’.

Dalam sidang Dewan Rakyat tadi, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (Bagan) mencelah meminta sekiranya Speaker boleh mengkaji semula ruling yang dibuat Timbalan Speaker semalam yang menyatakan ianya adalah hak ahli Parlimen itu sendiri untuk meminta maaf atau tidak.

Beliau juga bertegas meminta agar Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing menarik balik tuduhan dan meminta maaf kepada Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, Azhar menjelaskan bahawa ruling yang dibuat seseorang Speaker tidak boleh diubah atau dibincangkan semula.

“Saya berpendapat retorika perbahasan perlu dikawal. Penggunaan perkataan itu agak kasar bagi saya tetapi saya dah memperhalusi (rakaman semalam) dan dapati bahawa Timbalan Speaker dah buat ruling.

“Apabila ruling dibuat, menurut aturan mesyuarat 43, maka ia muktamad,” katanya.

Ia kemudian dibidas Lip Eng yang menempelak ruling dibuat Datuk Azalina Othman sebagai bodoh.

Azhar beberapa kali menjerit agar Lip Eng dikeluarkan dari Dewan yang kemudiannya menggantung kehadiran ahli Parlimen DAP itu selama lima hari berbanding dua hari pada awalnya.

“Beliau melakukan dua kesalahan. Bukan sahaja mengganggu dan buatkan Dewan kacau bilau, malah tak mahu dengar arahan saya sehingga saya terpaksa mengeluarkan ugutan memanggil polis,” kata Azhar.

Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang juga saling berbalah meminta Lip Eng meminta maaf kerana melemparkan kata kesat, selain desakan juga berterusan menuntut ahli Parlimen Bintulu meminta maaf.

Sementara itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) meminta agar Speaker menggantung Lim Lip Eng untuk tempoh dua hari sahaja dan bukannya lima hari.

Perkara itu tidak diendahkan Azhar dan berkata, “Dia tak kena 10 hari pun dah bernasib baik”.

Semalam, Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing menghentam Noor Hisham apabila mendakwa beliau sebagai individu “takut mati” kerana tidak melakukan lawatan ke hospital-hospital di Sabah.

Menurutnya, Noor Hisham juga sekadar melakukan siaran langsung Covid-19 namun tidak berani kehadapan membantu petugas barisan hadapan sehingga akhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasa.