Malaysia Dateline

Pertahan kemerdekaan bukan tanggungjawab kerajaan sahaja, kata Eddin

Mempertahankan kemerdekaan negara bukan hanya dibahu kerajaan semata-mata, bahkan ia juga menjadi tanggungjawab keseluruhan rakyat, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith.

Menurutnya kemerdekaan yang dinikmati warga pada hari ini bukanlah diperolehi sekelip mata, malah melalui jerih perih pejuang negara terdahulu, dan tanggungjawab mempertahankan kemerdekaan merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dipikul tidak kira siapa.

“Kemerdekaan yang kita nikmati hari ini bukanlah kemerdekaan yang diperoleh dalam sekelip mata, malah beribu-ribu nyawa telah terkoban. Ramai yang telah kehilangan keluarga, harta benda, rumah kediaman kerana memperjuangkan satu matlamat iaitu kemerdekaan negara,” katanya di sini, malam ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis makan malam bersama 132 peserta Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) di sini, dan majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan Choo Ken Hwa serta Pengarah Penerangan negeri Sabaruddin Yeop Hamza.

Eddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah turut merakam penghargaan kepada peserta konvoi yang berkorban masa, tenaga dan wang ringgit dalam mengharungi perjalanan sejauh 6,200 kilometer bermula di Dataran Pahlawan Melaka pada 3 Ogos lepas dan akan berakhir di Putrajaya pada 31 Ogos ini.

Konvoi itu telah melalui perjalanan sejauh lebih 3,000 kilometer dan hari ini telah menjelajah enam kawasan di daerah ini bermula dari pukul 9.00 pagi tadi di Dataran Tanjung Agas, Linggi yang majlis perasmiannya disempurnakan Choo.

Konvoi berkenaan kemudian bergerak ke Kolej Komuniti Port Dickson, Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Panjang, Kampung Orang Asli Bukit Tembok, Masjid Khariah Teluk Kemang dan berakhir di Dataran Teluk Kemang pada 2.30 petang dan disambut oleh Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim.– BERNAMA