Malaysia Dateline

Pertahan kerajaan, darurat ditarik balik, majoriti kerajaan PN tidak boleh diuji

Selepas ditekan agar Dewan Rakyat membuat keputusan mengenai Ordinan Darurat melalui perbahasan dan undian, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen)  Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan keputusan yang mengejutkan iaitu kerajaan telah membatalkan ordinan tersebut.

Menurut Takiyuddin, keputusan ini dibuat pada 21 Julai lalu, iaitu lima hari sebelum sidang Parlimen yang berlangsung hari ini.

Dengan pengumuman Takiyuddin ini bermakna, sokongan untuk Perdana Menteri samada mempunyai majoriti atau tidak, tidak dapat diuji di sidang Dewan Rakyat yang dijangka akan dibuat menerusi undian samada darurat akan diteruskan atau tidak di Dewan Rakyat.

Dalam sidang hari ini, pembangkang mendesak agar Dewan Rakyat bersidang dengan membentang, membahas dan mengundi usul agar Darurat ditamatkan.

Speaker telah menolak usul yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga MP Bruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang meminta perintah darurat dibentang, dibahas dan diundi dalam sidang ini.

Ketika Ngeh membuat rayuan agar usulnya yang ditolak dinilai semula oleh Dewan agar ia diterima balik, Takiyuddin bangun memaklumkan Perintah Darurat tidak akan disambung selepas ia tamat 31 Julai ini.

Ia dibuat oleh kerajaan pada 21 Julai lalu, kata Takiyuddin menyebabkan rayuan usul Ngeh Koo Ham tidak perlu diundi dan usul mengenai Perintah Darurat juga tidak perlu dibahas dan diundi.

Sebelum ini, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataannya, semua wakil rakyat Umno akan meninggalkan kerajaan PN jika darurat disambung lagi selepas tanat pada 1 Ogos ini.