Pertahan kerajaan PH, usah ulang kesilapan BN

Pertahan kerajaan PH, usah ulang kesilapan BN

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan kejayaan mengubah kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) perlu dipertahankan agar kesilapan yang pernah dilakukan kepemimpinan terdahulu tidak berulang.

Menurutnya, rakyat di Sabah dan Semenanjung membuat rekod besar mengubah kerajaan pada PRU lalu memandangkan berlaku selepas 60 tahun BN berkuasa.

“Ia adalah satu keputusan yang besar, ertinya bahawa rakyat yang menentukan kerajaan dan selepas 60 tahun ia dinafikan oleh rakyat itu sendiri.

“Tidak dinafikan ada kemajuan dan pembangunan dibawa oleh BN tetapi di akhir era kerajaan lalu, sebelum kalah, mereka sudah salah guna kedudukan,” ujarnya ketika ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis anjuran Warisan di Plaza Bongawan, di Bongawan, semalam.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong dan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, PRK Kimanis bukan untuk mengembalikan wakil rakyat BN.

“Sudah pasti kita tidak mahu, sebab tidak mahu sejarah lampau berulang lagi,” katanya.

Beliau menjelaskan rakyat di seluruh negara masih mahukan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Pusat dan Warisan di Sabah bagi membawa perubahan untuk masa depan negeri dan negara.

“Saya faham rakyat berkata kerajaan ini belum cukup bawa perubahan besar terutama dalam usaha meringankan masalah beban sara hidup, pendidikan, sosial dan soal pekerjaan.

“Sebab itu saya ajak berikan sokongan kepada dasar yang kita perkenalkan ke arah membangunkan negara dan mengembangkan ekonominya,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin menyifatkan PRK Kimanis adalah ujian untuk Warisan dan rakan parti dalam PH dalam menentukan hala tuju Sabah ke arah kemajuan.

“Walaupun ini hanya PRK, kepentingannya begitu besar kepada rakyat di Sabah,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu lagi.