Malaysia Dateline

Pertahan Masjidil Aqsa bukan tugas Palestin sahaja, kata Mapim

Majlis Perundingan Petubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengingatkan umat Islam tentang tanggungjawab membela Masjidil Aqsa dan mempertahankan kiblat pertama itu dari berterusan diserang rejim Zionis.

Presidennya, Azmi Abdul Hamid, berkata, umat Islam perlu sedar akan tanggungjawab mereka bukan sekadar mengambil tahu tetapi perlu mengambil berat dan menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Malah katanya, ia tidak cukup untuk setakat mengetahui kesengsaraan para pejuang Palestin tanpa keupayaan membantu mereka.

“Apa makna mengambil tahu? Makananya kita kena faham isu Palestin, kena ajar diri dan anak-anak tentang kedudukan Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa yang terancam. Jangan jadi manusia yang rasa itu bukan masalah kita kerana ini tidak berkait tentang bangsa melayu semata-mata.

“Setakat tahu Palestin sedang sengsara, itu tak cukup. Perlu ambil berat dan paling minima usaha yang boleh kita mulakan adalah keupaayan untuk berdoa. Doa bukan pilihan terakhir tetapi yang pertama. Mulai dengan doa sesungguh hati untuk pejuang dan saudara Islam kita di sana.

“Selepas berdoa kita tak boleh berhenti di situ. Kita kena turut terlibat dalam menganjurkan sebanyak mungkin program kesedaran Palestin di Masjid, pejabat, sekolah, dan sebarkan ilmu baik melalui jiran tetangga. Edar risalah atau video supaya ia tersebar kerana ini termasuk dalam tanggungjawab kita menyuntik kesedaran,”katanya ketika forum Sambutan Hari Al-Quds Sedunia 2019, semalam.

Membincangkan Isu Palestin dalam segmen sembang Al-Quds, Azmi berkata, tanggungjawab yang berkesan membantu rakyat Palestin adalah dengan menyokong perjuangan mereka.

Katanya, perlu ada penajaan atau sumbangan untuk rakyat Palestin yang terjejas sekaligus menunjukkan sokongan dan pengharapan rakyat Malaysia untuk umat Islam di negara yang sedang bergolak.

Dalam Majlis yang sama, Pengerusi Syura, Abdul Ghani Samsudin turut berkata, banyak laporan yang mendedahkan sememangnya rejim zionis ini sedang berusaha menentang kebangkitan islam dan golongan Islamis.

Ini kerana katanya, mereka ingin memastikan kehancuran kuasa kebangkitan Islam dan sebaliknya menaikkan kuasa jahat dengan mengganasi umat islam atas nama menentang terrorism.

Jelasnya, ringkasan tindakan kuasa besar Israel dan Amerika Syarikat yang menindas umat islam khasnya negara seperti Iran dan Turki, tidak menolak kemungkinan akan turut ‘mengganyang’ Malaysia suatu hari nanti.

“Inilah kuasa besar yang sedang membentuk masa depan dunia untuk memastikan kumpulan yang akan bangkit mempertahankan islam dan merampas semula Baitul Maqdis, tidak akan selamat dan akan dihancurkan.

“Sekarang ini pula banyak sangat isu mengyahudikan satu sama lain supaya mereka akhirnya dapat mencetuskan peperangan sunni syiah dan ini lah trend mutakhir yang berlaku kerana mereka nak suruh negara Islam tunduk kepada kehendak mereka.

“Kuasa-kuasa besar ini dah tindas negara-negara Islam lain. Tidak lama lagi mungkin Malaysia pun mereka akan ganyang. Kita dalam proses untuk mengukuhkan Malaysia sebagai Harimau Asia, jadi kita tak nak umat Islam dilagakan kerana bangsa dan agama. Kita juga tak nak agamawan melakukan tindakan perbalahan sesama sendiri,”ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menekankan tentang peranan para ulama untuk menyebarluas isu mengenai perjuangan ummah supaya negara Islam bebas dari cengkaman kuasa penjajah imperialis baru yang anti pada golongan islamis dan mereka yang mahu kembali kepada Islam.

“Timbulkan kesedaran dan gesa Pesatuan Ulama Sedunia, atau gabungan ulama dunia islam untuk bebaskan negara dari pemikiran sempit yang gemar menimbulkan permusuhan,” katanya.