Malaysia Dateline

Pertahan semangat kerjasama, biar persaingan had kepada kerusi bertindih sahaja

Pada awalnya AMANAH, PKR dan DAP telah mengagihkan kesemua 56 kerusi DUN Johor di antara komponen parti-parti Pakatan Harapan (PH). AMANAH diberikan 20, PKR 20 dan DAP 16 kerusi DUN.

Dalam usaha mencapai serta melebarkan kesatuan pembangkang untuk menghadapi BN dan PN dalam PRN Johor, kami bersetuju setiap parti boleh berunding dengan parti-parti pembangkang lain mengenai kerusi-kerusi yang ditugaskan kepada kami.

Hasil rundingan bersama MUDA, AMANAH telah menyerahkan 4 dari 20 kerusinya kepada MUDA dan DAP telah menyerahkan 2 dari 16 kerusinya. Malangnya rundingan PKR dan MUDA telah tidak berjaya mencapai kata sepakat.

Kami dimaklumkan oleh kerana gagal mencapai kata sepakat, maka akan ada pertindihan antara PKR dan MUDA di kerusi tertentu. Kami mengharapkan mereka akan terus berunding untuk mencari jalan serta formula terbaik hingga ke saat akhir.

Amat malang seandainya berlaku juga pertindihan kerusi ini kerana Pakatan Harapan telah membentuk satu kerjasama dengan MUDA sejak awal. Situasi ini hanya akan menguntungkan BN dan PN di kerusi berkenaan.

Namun demikian AMANAH terpaksa membuat pendirian untuk menghadapi kemungkinan ini. Bagi AMANAH, PKR adalah rakan gabungan.

Oleh itu di mana berlakunya pertindihan antara PKR dan MUDA di kerusi yang telah diamanahkan kepada PKR, AMANAH akan menyokong calon PKR.

Pada masa sama, di kerusi yang telah AMANAH serahkan pada MUDA, dari kerusi-kerusi diamanahkan kepada AMANAH, MUDA hendaklah dianggap mewakili AMANAH dan semua rakan gabungan PH, termasuk PKR, hendaklah menyokong calon MUDA.

Kalau pertindihan tidak dapat dielak di kerusi-kerusi tertentu, biarlah pertindihan dan persaingan antara parti-parti pembangkang dihadkan kepada kerusi-kerusi tersebut sahaja, sambil semangat kerjasama antara pembangkang kekal dipertahankan di kerusi-kerusi selainnya, demi mendukung matlamat yang sama untuk menafikan kemenangan kepada Umno-BN serta menghalang kembalinya kepimpinan yang mendukungi Kluster Mahkamah serta Perompak-Pencuri-Kleptokrat.