Pertahan Shah Alam, Khalid sah berentap tiga penjuru

Pertahan Shah Alam, Khalid sah berentap tiga penjuru

Penyandang dua penggal Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad sah berentap dengan BN dan Pas selepas menyerahkan borang pencalonan di Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 19 pagi tadi.

Calon Pakatan Harapan (PH) berkenaan dicabar Dr Mohd Zuhdi Marzuki dari Pas dan Datuk Azhari Shaari dari BN.

Zuhdi dan Azhari masing-masing adalah Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas dan Ketua Umno Bahagian Shah Alam.

Bagi Dun Kota Anggerik (N.40), PH menampilkan muka baharu, Najwan Halimi yang merupakan Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Selangor.

Beliau akan mencabar calon BN, Jumaeah Masdi yang merupakan Ketua Wanita Umno Bahagian Shah Alam dan Ketua Dewan Ulama Pas Selangor, Ahmad Dusuki Abdul Rani.

Sementara itu, penyandang Dun Batu Tiga (N.41), Rodziah Ismail ditentang calon BN, Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Ya’kop dan Abdul Halim Omar dari Pas.

Menjamu selera selepas menyerahkan borang pencalonan.

Ahmad Mua’adzam merupakan Ketua Pemuda Umno Shah Alam manakala Abdul Halim adalah Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor.

Kesemua senarai calon yang bertanding di kerusi panas di Selangor itu diisytihar Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Shah Alam, Datuk Ahmad Zahri Abdul Samad pukul 10.50 pagi tadi.

Tiada insiden tidak diingini berlaku sepanjang proses penamaan calon.

Sejurus selesai pengumuman, kedua-dua kumpulan penyokong PH dan BN saling bersorak.

Sebaliknya, penyokong Pas yang ditempatkan di sebelah Klinik Kesihatan Seksyen 19 hanya melaungkan beberapa kali takbir.

Kesemua calon PH akan menggunakan logo PKR pada PRU kali ini selaras dengan keputusan bersama gabungan AMANAH, PKR, Bersatu dan DAP itu pada 6 April lalu.

Semua calon dan parti yang bertanding perlu mematuhi Akta Kesalahan-kesalahan Pilihan Raya 1954 sepanjang tempoh berkempen.

Selangor pada masa ini mempunyai sembilan kerusi Parlimen PKR, BN (5), DAP (4) manakala AMANAH (3) dan Pas hanya satu kerusi.

Bagi kedudukan semasa kerusi Dun, DAP mempunyai 14 kerusi, PKR dan Pas masing-masing 13 kerusi, BN (12), AMANAH (2) dan dua lagi Bebas.

5.3
OVERALL SCORE
: 10.0
3 user votes x 3.7
CATEGORIES
TAGS