Pertahankan kepentingan orang ramai, kata Ustaz Hasanuddin

Naib Pengerusi AMANAH, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus berkata, pendekatan rahmat adalah mengambil kira kepentingan awam bagi mengelak masalah berlaku dalam masyarakat.

Menurutnya, setiap orang mesti menerapkan sifat rahmah dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara sesuai dengan tuntutan maqasid syariah.

“Kalau ada perkara-perkara yang mengancam dan membebankan orang ramai bererti hilang rahmah. Maka tugas syarak ialah mempertahankan kepentingan orang ramai terlebih dahulu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Program Diskusi Ilmiah bertemakan ‘Islam: Rahmatan Lil Alamin’ (Rahmat Untuk Semua) sempena sambutan Maal Hijrah 1440H Melaka di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah baru-baru ini.

Ahli Parlimen Hulu Langat itu berkata, lantaran negara berada pada kedudukan membimbangkan maka parti-parti politik bertindak mengambil bahagian pada PRU-14 lalu dalam sistem demokrasi yang ada.

“Masing-masing (Parti politik) berhak memberikan hujah secara rasional. Sebab itu, hari ini saya ucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Melaka yang sudi menjemput teman-teman parti pembangkang (Umno dan Pas) untuk sama-sama berada di atas pentas,” ujarnya disambut tepukan kira-kira 1,000 peserta program.

Diskusi yang dihadiri Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Omar Jaafar itu menyaksikan Umno diwakili Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Hasanuddin turut menegaskan janji kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk terus memperkasakan Islam, melindungi hak dan keistimewaan Raja-Raja Melayu, selain terus memelihara hubungan antara kaum yang sedia akrab terjalin di negara ini.

“Malah, walaupun PH baharu memerintah 9 Mei lalu, perkara yang baik daripada kerajaan terdahulu akan tetap kita teruskan demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

“Ia termasuklah memperkasa Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dalam struktur Kementerian Pendidikan, selain akan menyerap guru KAFA ke jawatan tetap,” ujarnya lagi dalam program yang turut disiar secara langsung di Facebook Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0