Malaysia Dateline

Pertahankan penurunan kes Covid-19, seru AMANAH Gombak

Pemuda AMANAH Gombak menyeru orang ramai untuk terus mempertahankan penurunan kadar kes baharu di kawasan itu selepas daerah tersebut antara yang direkodkan mempunyai kes Covid-19 tertinggi dan dikategorikan sebagai zon merah.

Naib Ketuanya, Syazmir Hariz Noorazalan berkata, pelonggaran pergerakan melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak seharusnya dijadikan asbab kepada peningkatan semula kes baharu.

Beliau berkata, sekiranya ia berlaku, usaha orang ramai terutama penduduk Gombak yang berada dirumah selama hampir 2 bulan ini akan menjadi sia-sia.

“Jumlah penduduk Gombak merupakan antara yang terpadat di Selangor. Penduduk Gombak juga terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Seharusnya, semua pihak termasuk warga Gombak mengambil langkah lebih berjaga-jaga dengan mengamalkan penjarakan sosial pada setiap aktiviti yang dijalankan.

“Masyarakat harus mengutamakan kebersihan diri dan persekitaran bagi memastikan Gombak mencapai kadar sifar Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Terdahulu, Gombak yang sebelum ini ditakrif sebagai zon kuning bertukar kembali kepada zon merah apabila terdapat peningkatan kes positif koronavirus (Covid-19).

Sehingga 5 Mei 2020, Gombak mencatat pertambahan sehingga 86 kes aktif dengan menyaksikan mukim Batu di daerah berkenaan mencatat 81 kes positif Covid-19.

Manakala empat lagi di Rawang dan satu di Setapak yang berada dalam zon kuning.

Sementara itu, Syazmir berkata, keputusan kerajaan Negeri Selangor yang mengambil jalan tengah mengubah beberapa perkara dalam PKPB untuk disesuaikan dengan keadaan negeri itu, merupakan tindakan tepat.

Beliau turut mengingatkan agar Ibu bapa terus memantau pergerakan anak-anak, manakala para peniaga harus mengutamakan SOP yang ditetapkan untuk menjalankan perniagaan.