Malaysia Dateline

Pertama kali wartawan dikompaun ketika buat liputan PRN Johor

Boleh dikatakan ini kali pertama petugas media atau wartawan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 ketika membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Difahamkan, seorang wartawan akhbar Sin Chew Daily dikompaun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika penamaan calon di N44 Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, hari ini.

Weng Kian Yong, 42 tahun, berkata, dia hanya pergi kepada calon untuk mendapatkan maklumat peribadi mereka tanpa menyangka dia akan dikenakan kompaun.

“Saya hanya mendekati calon untuk mendapatkan maklumat peribadi mereka seperti nama, gambar dan nombor telefonnya.

‚ÄúSebab ketika itu memang ada wartawan lain yang turut menemuramah, tetapi saya sahaja dikenakan atas alasan terlalu rapat dengan calon berkenaan,” dakwanya.

Sementara itu,

seorang lagi petugas media daripada portal Malaysia Gazette, Khairulanuar Yahaya, 47, hanya dikenakan amaran.

Pertembungan di DUN Larkin kali ini hampir pasti melibatkan enam penjuru.

Barisan Nasional mempertaruhkan Ketua Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Mad Shah, 38 tahun, dan Pakatan Harapan meletakkan Dr Zamil Najwah Arbain, 48 tahun.

Perikatan Nasional pula meletakkan bekas Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri, Zukifli Bujang, 44 tahun, manakala Parti Pejuang Tanah Air mencalonkan Mohamad Riadz Hashim, 49 tahun.

Ikatan Muda Demokratik (MUDA) pula meletakkan harapan ke atas Ketua Penerangan MUDA Johor, Rasid Abu Bakar, 28 tahun, sekali gus melihat pertembungan antara parti itu dengan PKR.

Selain itu, turut kelihatan seorang Calon Bebas, Norramadan Buan, 45 tahun, yang hadir untuk menyerahkan borang pencalonannya.