Pertandingan 4 penjuru di Parlimen Bagan, 5 penjuru di semua Dun

Pertandingan 4 penjuru di Parlimen Bagan, 5 penjuru di semua Dun

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengesahkan kawasan Parlimen Bagan menyaksikan pertembungan empat penjuru, manakala saingan lima penjuru di ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di parlimen berkenaan.

Setiausaha Agung DAP kebangsaan, Lim Guan Eng bertanding dengan menggunakan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Parlimen Bagan.

Beliau dicabar tiga calon parti lain, iaitu Lee Beng Seng (Barisan Nasional (BN)); Koay Xing Hoon (Malaysian United Party (MU)) dan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan.

Bagi kerusi Dun Bagan Dalam, muka baru DAP iaitu M. Satess yang bertanding atas tiket PKR juga, sah dicabar oleh J. Dhinagaran (BN), Teoh Uat Lye (MU), Teoh Huck Ping (PRM) dan Jasper Ooi Zong Han (PFP).

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Jawi, Soon Lip Chee bertanding di Dun Bagan Jermal atas tiket PKR juga, dicabar Teoh Chai Deng (PRM) M. Hari Devyndran (MU), Fabian George Albert (PFP) dan Ang Chor Keong (BN)

Penyandang dari DAP juga, Phee Boon Poh kekal bertanding menggunakan logo PKR bagi mempertahankan kemenangannya di Dun Sungai Puyu.

Wakil rakyat veteran itu sah dicabar Tan Lay Hock (PRM), Lim Hai Song (BN), Neoh Bok Keng (MU) dan Ong Yin Yin (PFP).

Pegawai Pengurus Pusat Mengundi SPR, Dato’ Sr. Rozali Mohamud mengumumkan pengesahan calon-calon yang bertanding tersebut di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwong Hwa Butterworth semalam.