Pertandingan bagi jawatan Presiden PKR akan diketahui akhir Julai

Pertandingan bagi jawatan Presiden PKR akan diketahui akhir Julai

Sama ada jawatan Presiden PKR akan ada pertandingan atau tidak hanya akan dapat diketahui pada akhir Julai nanti.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail ketika ditemui selepas melawat Pasar Bayan Baru, hari ini.

Jelas beliau lagi, PKR juga telah menetapkan bahawa Presiden hanya boleh memegang jawatan selama dua penggal.

“PKR telah membuat pindaan pada pilihan raya umum yang lalu. Jawatan Presiden hanya boleh dipegang selama dua penggal sahaja.

“Manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah mempunyai satu lagi penggal untuk berkhidmat sebagai Presiden mulai pindaan tersebut, ” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai saranan Angkatan Muda Keadilan yang mencadangkan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding bagi kerusi Presiden, beliau berkata, sesiapa saja boleh bertanding apa jua jawatan sekiranya ia layak mengikut perlembagaan parti.

Malah katanya lagi, terdapat pelbagai pandangan yang masih diterima untuk diperdebatkan bagi kerusi tersebut.

Walau bagaimana pun katanya, Wan Azizah telah melakar sejarah sebagai Presiden pertama PKR yang telah berjuang hampir 20 tahun.

“Beliau adalah Presiden Wanita Pertama parti politik serta Ketua Pembangkang Wanita pertama bagi parlimen dalam negara ini.

“Penggal ini adalah penggal terakhir sekiranya beliau bertanding bagi mempertahankan kerusi tersebut.

“Sementara itu katanya sekiranya Anwar menjadi Presiden pula, samada jawatan Ketua Umum akan dikekalkan atau dimansuhkan terserah pada anggota parti untuk menentukannya, ” tegas beliau lagi.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu turut berkata, Anwar adalah simbol perjuangan politik pada negara yang mempunyai aura dalam perjuangan yang dilakarinya.

Tambahnya lagi tiada pertikaian mengenai kedudukan Anwar sebagai ‘Prime Minister in waiting ‘ kerana konsensus yang telah pun disepakati dalam Pakatan Harapan (PH), ialah Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kesepakatan ini katanya, perlu ditunaikan kerana ia telah dipersetujui oleh semua komponen dalam PH sebelum ini.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0