Malaysia Dateline

Pertanian bandar mampu tingkatkan KDNK dan SSL negara – Salahuddin

Penglibatan rakyat dalam pertanian bandar menggunakan teknologi baharu dapat meningkatkan tahap sara diri (SSL) bagi makanan sekali gus menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani  Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata hasil pertanian menggunakan teknik itu yang banyak membabitkan tanaman sayur-sayuran bukan sahaja boleh memenuhi keperluan makanan sendiri tetapi juga boleh dijual untuk pasaran tempatan.

Ketika ini kira-kira 30 peratus penduduk negara ini terlibat dalam pertanian bandar dan diharapkan jumlah itu akan meningkat dalam tempoh lima tahun akan datang,  katanya pada sidang media selepas merasmikan Hawa Plantation Vegetable Garden, di sini, hari ini.

SSL bagi makanan ketika ini ialah 70 peratus dan kerajaan menyasarkan untuk meningkatkannya kepada 80 peratus menjelang 2023.

Hawa Plantation Vegetable Garden ialah nurseri sayuran bagi membantu orang ramai yang ingin terlibat dalam pertanian bandar termasuk di rumah yang tiada halaman selain menjual sayur-sayuran organik.

Sementara itu, mengulas  kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai keterbukaannya untuk melakukan rombakan kabinet jika menerima pencalonan baharu daripada PKR yang selesai mengadakan pemilihan parti, Salahuddin berkata perkara tersebut adalah hak mutlak perdana menteri.

“Kami yang dilantik ini majoritinya baharu, tugas kami adalah untuk menyempurnakan tanggungjawab itu sebaik mungkin.

“(Selepas) enam bulan kalau perdana menteri ingin membuat rombakan, kami terima. Kami telah melakukan yang terbaik dalam membantu perdana menteri melakukan tugas dan tanggungjawab,” katanya.

— BERNAMA