Pertanyaan tentang cuti hari Jumaat bikin panas, Mufti Perlis terdiam sekejap sebelum jawab

Oleh KIM SYAZIE

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin tampil menjelaskan kekeliruan ramai mengenai cuti pada hari Jumaat yang dikaitkan dengan dasar Islam sebenar.

Ketika menjawab soalan ‘bila Perlis akan melaksanakan cuti Jumaat untuk melaksanakan dasar Islam’, beliau terdiam sebentar sebelum menjelaskan dengan tegas kesalahfahaman ramai mengenai hal itu.

Beliau menegaskan bahawa tiada dalam nas agama yang menyatakan hari Jumaat perlu cuti, bahkan katanya, hanya mereka yang “bankrap akal” sahaja tidak memahami perkara itu.

Mohd Asri yang lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, dalam Al-Quran sama sekali tidak menyebut mengenai keperluan cuti pada hari Jumaat untuk membesarkan hari itu.

Beliau turut menyebut firman Allah menerusi Surah Al-Jumuah  yang menyeru menunaikan solat Jumaat dengan segera dan kembalilah bekerja apabila selesai solat.

“Dasar Islam cuti hari Jumaat ini datang mai tang mana? Adakah Nabi pernah kata orang Islam cuti hari Jumaat? Quran kata apa… Wahai orang-orang yang beriman apabila diseru kepada sembahyang di hari Jumaat, bersegeralah mengingati Allah dan tinggalkan jual beli.

“Kenapa Quran sebut jual beli kalau hari itu hari cuti? Maksudnya tak cuti lah. Selepas solat Jumaat carilah kurniaan Allah, pi buat kerja.

“Sebab itu dalam mazhab Malik, makruh hari Jumaat tak buat aktiviti apa-apa. Tak ada mazhab yang kata hari Jumaat adalah hari cuti. 

“Tak ada nas agama kata hari Jumaat cuti melainkan orang-orang yang bankrap akal, dia tak boleh faham. (Dia anggap) kalau nak laksanakan Islam (mesti) cuti hari Jumaat,” katanya dalam satu video di Facebook miliknya baru-baru ini yang bertajuk ‘Betulkah Islam Suruh Cuti Hari Jumaat’.

Beliau berkata demikian

Dr Maza menambah, orang sebegini tidak pernah memikirkan tentang pentadbiran yang baik dan pengurusan yang bagus, sebaliknya hanya memikirkan berkenaan cuti barulah dikira membesarkan Islam.

Beliau juga menekankan, semua orang yang bercuti pada hari Jumaat tidak pernah menyatakan cuti itu kerana membesarkan hari Jumaat.

Justeru beliau menasihatkan bahawa cuti pada hari apa-apa sekalipun adalah dibolehkan kerana pemilihan cuti ditentukan oleh pentadbiran.

“Agama tak kata cuti hari Jumaat. Nas kata kerja hari Jumaat. Tapi kalau orang cuti juga hari Jumaat boleh tak? Boleh lah. Tak salah. Macam Arab dia cuti hari Jumaat, tak ada masalah apa.

“Tetapi semua orang yang cuti pada Jumaat tidak pernah menyatakan kerana ingin membesarkan hari Jumaat. Agama tak ada membesarkan hari itu dengan cuti. Tak ada,” katanya lagi.

Pada masa sama, Dr Maza berkata, jika ramai yang bercuti hari Jumaat, maka semakin ramailah yang bermusafir dan ramai juga yang terlepas solat kerana tertidur.

“Saya nak cakap satu sahaja. Kalau cuti hari Jumaat, ramai akan bermusafir. Bila dia bermusafir, tak wajiblah dia sembahyang Jumaat. Tambah pula Perlis ni sempadan dengan Siam, dia pergi Siam.

“Sunyilah masjid-masjid kita. Bagi negeri-negeri yang banyak kilang, ada pejabat, kerana hari Jumaat hari bekerja, orang yang malu akan mai sembahyang Jumaat.

“Kalau hari Jumaat cuti, mungkin tidur di asrama,” ujarnya panjang.

Baca juga: “Malulah kita dengan dosa”, PU Riz tegur wanita mengaku lebih selesa tak bertudung