Malaysia Dateline

Pertembungan 7 penjuru di PRK Port Dickson

Suasana di tempat penamaan calon PRK Port Dickson pagi ini.

Calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berhadapan pertandingan 7 penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson yang akan diadakan pada 13 Oktober ini.

Borang penamaan calon yang diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Pusat Penamaan Calon yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson ditutup pada jam 10 pagi tadi.

Pengurus SPR PRK 132 Port Dickson, Khairuddin Maamor mengambil masa sejam untuk mengumumkan nama-nama calon yang akan bertanding selepas pusat pengundian ditutup.

Calon akhir yang menghantar borang pencalonan ialah seorang bekas wartawan Rajendra A/L Ammasi sebagai calon Bebas pada jam 9.59 pagi tadi namun pencalonannya tidak dapat diterima oleh pihak SPR kerana pencadang beliau bukan pemilih berdaftar di P132 Port Dickson.

Khairuddin turut memaklumkan dalam semakan kertas penamaan calon terdapat satu calon ditolak kertas penamaan.

Anwar Ibrahim mengadakan sidang media selepas penamaan calon untuk PRK Port Dickson.
Isa Samad bersalaman dengan calon Pas untuk PRK Port Dickson, Let Kol (B) Mohd Nazari Moktar.

Diikuti Mohd Saiful Bokhari Azlan yang menghantar borang pencalonannya pada jam 9.16 pagi; Datuk Seri Anwar Ibrahim jam 9.11 pagi;  Leftenan Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar jam 9.10 minit; Tan Chee Yuan jam 9.06  pagi; Stevie Chan Keng Leong jam 9.04 pagi; Tan Sri Mohd Isa Samad jam 9,03 pagi dan Lau Seak Yan jam 9.02 minit.

Pada PRK Port Dickson hari undi awal pada 9 Oktober dan hari mengundi 13 Oktober depan