Pertembungan demontrasi  Bersih 5 – Baju Merah hanya sentimen politik kepartian

Pertembungan demontrasi Bersih 5 – Baju Merah hanya sentimen politik kepartian

Hak rakyat untuk berhimpun secara aman di bawah Akta Perhimpunan Aman tidak bermakna apa-apa sekiranya, isu yang mahu dibawa oleh kumpulan Bersih 5 dan Baju Merah lebih kepada sentimen politik kepartian, kata penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar.

Hak rakyat untuk berhimpun secara aman di bawah Akta Perhimpunan Aman tidak bermakna apa-apa sekiranya, isu yang mahu dibawa oleh kumpulan Bersih 5 dan Baju Merah lebih kepada sentimen politik kepartian, kata penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar.

Beliau berkata, walaupun hak berhimpun itu hak rakyat di bawah Akta Perhimpunan Aman, namun pertembungan dua kumpulan itu kelak akan mewujudkan suasana ketegangan antara kaum berbanding isu yang mahu diperjuangkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) itu sendiri untuk menganjurkan Bersih 5.

“Dua kumpulan ini (Bersih 5 dan Baju Merah) berhak untuk berhimpun.

“Tetapi dalam situasi masa kini sentimen politik berbeza yang mempengaruhi dua kumpulan ini lebih menonjol. Saya berpendapat lebih elok Bersih 5 tidak adakan perhimpunan yang akan membabitkan pula kemunculan kumpulan Baju Merah, walaupun kita tahu itu hak mereka (hak berhimpun).

“Saya bimbang situasi ini akan menimbulkan ketegangan yang akan mengundang perkara yang tidak diingini, seperti perbalahan kaum antara dua kumpulan ini,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas mengenai siapsiagaan kumpulan Baju Merah dikalangan gabungan beberapa NGO Malaysia pro kerajaan yang  mewakili semua kaum diketuai Datuk Jamal Md Yunos untuk berhadapan dengan kumpulan Bersih 2.0 yang diketuai Pengerusinya Maria Chin Abdullah, jika Bersih 5 melakukan demontrasi.

Ini ekoran pada 3 Ogos lalu, penganjur Bersih 2.0 mengumumkan untuk mengadakan demontrasi Bersih 5 dalam masa terdekat ini tanpa menyatakan lokasi dan tarikh sesuai kerana masih dalam peringkat perbincangan.

Bagaimanapun kumpulan Baju Merah semalam, telah mengumpulkan penyokongnya dan mengadakan sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk menghalang Bersih 5 yang didakwa mengheret campurtangan luar dengan mengadakan demontrasi untuk meruntuhkan sistem demokrasi di negara ini  sekaligus menghasut rakyat turun ke jalan raya menentang pemimpin dan kerajaan.

Dalam hal ini Chandra menjelaskan, isu utama adalah masalah integriti yang masih tidak dapat diselesaikan melalui Bersih 2.0 atau dikalangan pemimpin politik dari parti kerajaan dan pembangkang di negara ini.

“Masalah integriti dan ketelusan membabitkan isu 1MDB dan syarikat-syarikat yang terkait, terkini pendedahan Jabatan Keadilan AS,sebenarnya masih lagi gagal kita selesaikan.

“Dalam demontrasi itu kelak, apa sebenarnya yang kita nak campai melalui perhimpunan ini terutama kedua-dua kumpulan itu? Bahkan himpunan sebelum ini juga tidak berkesan untuk mengubah pendirian pihak kerajaan.

“Pihak yang mahu menganjurkan demontrasi sudah tentu mahu menyampaikan mesej mereka tetapi pihak yang didesak tidak akan melakukan apa-apa untuk mengubah atau memperbetulkan keadaan berlaku.

“Sebaliknya ada pihak tertentu pula akan gunakan isu ini untuk kepentingan politik mereka. Mereka tidak mahu isu ini diselesaikan dengan cara adil dan sengaja mahu melambatkan siasatan,” jelasnya.

Justeru kebimbangan beliau sekiranya Bersih 2.0 mahu meneruskan demontrasi Bersih 5 berkemungkinan ada pihak lain akan mengambil kesempatan.

“Yang saya takut sekiranya Bersih 2.0 buat demontrasi pihak lain ambil kesempatan memanipulasi keadaan ini mereka juga akan berdemontrasi menghalang pihak lain,” ujarnya.

Malaysiadateline menghubungi Maria Chin mengenai desakan kumpulan Baju Merah yang mahu menghalang perhimpunan Bersih 5, Maria hanya berkata,” mereka kalau nak berhimpun, berhimpunlah. Kita belum ada tarikh lagi bila nak berhimpun.Jadi terlalu awal nak menjangkakan apa yang akan berlaku, saya ‘no comment’,” ujarnya tanpa mahu mengulas lanjut.

Walaupun hak berhimpun itu hak rakyat di bawah Akta Perhimpunan Aman, namun pertembungan dua kumpulan itu kelak akan mewujudkan suasana ketegangan antara kaum berbanding isu yang mahu diperjuangkan oleh Bersih 2.0..

TAGS