Pertembungan di Paloh antara rakyat dengan BN

Pengumuman Calon N30 Paloh, Sheikh Omar Ali oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang bersama pimpinan Pakatan Harapan Johor.

Calon Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor bagi kawasan N30 Paloh, Sheikh Omar Ali, menekankan bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti bukan perlawanan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semata-mata tetapi antara rakyat dengan BN.

Justeru kata beliau, penglibatan rakyat akar umbi khususnya pengundi berdaftar pada PRU14 ini amat penting bukan sekadar untuk mengubah pemerintah dan lanskap sosio-politik malah bersama-sama PH memastikan kelangsungan sistem demokrasi di Malaysia.

Sehubungan itu katanya, pengalaman di lapangan bersama rakyat akar umbi semasa di Universiti Malaya melalui pertubuhan mahasiswa dan gerakan masyarakat sivil serta berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) bersama sebuah kementerian akan dimanfaatkan sebaiknya dalam merencana perubahan di Paloh bersama masyarakat tempatan.

“Sebagai permulaan ke arah perubahan, Pusat Pilihan Raya Harapan Paloh telah dilancarkan baru-baru ini oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang beroperasi di sebuah kedai terbakar dekat Jalan Abu Bakar, Paloh.

“Bangunan kedai yang usang dan ditinggalkan sejak 21 tahun lalu akibat insiden kebakaran ini telah disuntik dengan semangat perubahan dan harapan.

“Usaha dan kerjasama yang dilaksanakan dalam masa dua minggu itu menterjemah keperluan dan kemampuan PH untuk membina semula Malaysia daripada segala kerosakan yang telah dilakukan oleh Barisan Nasional selama enam dekad ini,” kata Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor itu dalam satu kenyataan.

Jelasnya, Pusat Pilihan Raya Harapan Paloh ini dibuka kepada orang ramai pada setiap hari dari jam 10 pagi sehingga jam 8 malam akan menjadi ruang masyarakat tempatan untuk berkongsikan pandangan dan cadangan bagi merencana perubahan di Paloh.

“Warga Paloh juga boleh mendapatkan pencerahan dan mengikuti perkembangan semasa Pusat Pilihan Raya Harapan Paloh di laman Facebook Sheikh Omar Ali (@sheikhomaralidap) dan Harapan Paloh,” kata beliau.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES