Malaysia Dateline

Pertembungan pemain BAM dan profesional di suku akhir Malaysia Masters tumpuan utama esok

Pertembungan beregu campuran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan beregu profesional di pusingan suku akhir esok akan menjadi tumpuan utama pada kejohanan badminton Perodua Malaysia Masters 2019.

Pertemuan dua wakil negara itu menyaksikan perlawanan antara Goh Soon Huat-Shevon Lai iaitu beregu di bawah naungan BAM dan beregu profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying selepas kedua beregu itu melepasi pusingan kedua hari ini.

Kejayaan dua beregu itu juga turut mengesahkan kemaraan Malaysia ke separuh akhir di Axiata Arena, KL Sports City di sini.

Pada perlawanan pusingan kedua hari ini Soon Huat-Shevon mudah menewaskan pasangan Takuro Hoki-Wakana Nagahara dari Jepun dengan straight set, 21-13, 21-19 dalam masa 32 minit.

Pasangan Peng Soon-Liu Ying pula terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan Lu Kai-Chen Lu dari China, 17-21, 21-17, 21-15.

Bagi Shevon, perlawanan esok pasti menjadi tumpuan peminat badminton dan mereka akan memberikan tentangan sengit menentang Peng Soon-Liu Ying yang baru menjulang kejuaraan Thailand Masters minggu lepas.

“Kami akan memberikan tentang sengit dan bermain lebih baik daripada hari ini. Tekanan esok lebih tinggi kerana masing-masing pasti mahu menang.

“Di gelanggang kami adalah musuh tetapi di luar kami sepasukan walaupun mereka sudah bergerak secara bebas. Menjadi beregu utama negara memang sasaran kami tetapi paling penting adalah layak ke Sukan Olimpik,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Mengulas tentang perlawanan hari ini, Soon Huat berkata mereka tidak menjangkakan mudah untuk menewaskan pasangan Jepun itu kerana mereka antara pemain terbaik dunia.

Sementara itu Liu Ying menjangkakan satu perlawanan yang menarik menentang rakan sepasukanya kerana sudah mengetahui corak permainan dan kelemahan masing-masing.

Peng Soon berkata paling penting esok adalah strategi yang digunakan untuk meraih kemenangan.

“Kami akan berbincang tentang strategi esok, dulu kami berlatih sama-sama, mereka boleh baca permainan kami. Esok dua beregu ke suku akhir, jadi salah seorang sudah pasti layak ke separuh akhir.

“Ini menunjukkan standard beregu campuran negara semakin bagus,” kata Peng Soon.

— BERNAMA