Pertembungan pemimpin PH, BN berkempen di pasar malam curi tumpuan

Pertembungan pemimpin PH, BN berkempen di pasar malam curi tumpuan

Pertembungan dua seteru politik buat pertama kali ketika berkempen bagi calon masing-masing sempena Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands hari ini mencuri tumpuan ramai semalam.

Pertemuan tanpa dijangka yang melibatkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Pemangku Timbalan Presiden Umno  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu, menjadikan orang ramai cukup teruja untuk melihat reaksi kedua-duanya.

Membuktikan tahap profesionalisme masing-masing, kedua-dua pemimpin itu bersalaman sebaik bertemu dan duduk semeja dengan penyokong masing-masing di sebuah kedai makan di sini sebelum melawat ke pasar malam serta bertemu pengundi secara berasingan

Tindakan kedua-dua mereka yang sering bidas membidas satu sama lain turut dirakam ramai pengunjung pasar malam menggunakan telefon pintar masing-masing.

Ismail Sabri antara lain pernah menuduh Lim sebagai anti Melayu dan anti Islam selain Lim pernah membidasnya kerana membuat pernyataan-pernyataan yang dianggapnya berunsur perkauman dan tidak berasas.

Turut hadir kemudiannya ke pasar malam itu ialah Presiden AMANAH  Mohamad Sabu yang menyertai Lim bersama-sama calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRK berkenaan M.Monagaran.

Bercakap kepada pemberita, Lim mengajak pengundi Cameron Highlands untuk memberi peluang kepada PH menjadi wakil mereka pada PRK kali ini supaya pembangunan kawasan berkenaan dapat dibuat dengan lebih rancak.

“Saya faham 61 tahun tak pernah undi pembangkang, sungguhpun kerajaan satu Malaysia dah berubah tetapi Cameron Highlands belum berubah. Jadi mengapa tidak kali ini berubah? katanya.

Sementara itu, Mohamad secara ringkas melahirkan keyakinannya bahawa PH boleh memenangi kawasan tradisi BN berkenaan.

PRK Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi parlimen itu, terbatal serta tidak sah, dan PRK ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan dan BN serta dua calon bebas.

Selain Manogaran yang merupakan Timbalan Pengerusi DAP Pahang, calon lain ialah bekas pesara polis, Ramli Mohd Nor mewakili BN dan dua calon bebas, iaitu bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib, 61, serta petani Wong Seng Yee, 40. – BERNAMA